"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gelombang ciptaan GHB menyebabkan pemimpin PAS panik - penganalisis

ZULKIFLI SULONG
Tindakan peletakan jawatan dalam PAS secara berperingkat bagi menyertai Gerakan Harapan Baru menyebabkan parti itu panik dan terpaksa membuat pelbagai program bagi menanganinya. 

Gerakan Harapan Baru (GHB) setakat ini berjaya menghasilkan gelombang dalam sokongan yang diterima mereka melalui peletakan jawatan beramai-ramai ahli PAS kawasan yang berlangsung di seluruh negara, menurut penganalisis.

Namun begitu, Profesor Datuk Dr Redzuan Othman (gambar, kanan) mengingatkan, ia tidak akan bertahan lama dan mereka perlu memberikan fokus khusus kepada usaha meneruskan penampilan mereka dalam pentas politik Malaysia.

"Mereka berjaya hasilkan gelombang, tetapi tidak boleh dengan cara itu saja. Mereka perlu fokus dalam aktiviti mereka selepas ini dengan memperkenalkan apa yang mereka perjuangkan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Pakar sejarah dari Universiti Malaya (UM) itu mengakui, tindakan peletakan jawatan dalam PAS secara berperingkat ini menyebabkan parti itu panik dan terpaksa membuat pelbagai program bagi menanganinya.

"Saya akui PAS memang panik dengannya. Sebab itu kita lihat banyak tindak balas daripada PAS," kata Redzuan, pensyarah sejarah UM yang juga bekas pengarah Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya UM (UMcedel).

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kumpulan ini umpama "budak-budak merajuk" dan akan kembali kepada PAS selepas habis rajuk mereka.

Beliau mendakwa, keluarnya mereka adalah satu pembersihan kepada parti Islam itu dan gembira dengan apa yang berlaku.

Namun, tindakan PAS dalam menghadapi isu ini membayangkan sebaliknya.

Mereka kini mula memberikan reaksi agak berlebihan dengan membuat pelbagai program khusus untuk menghadapi perkembangan dalam GHB mutakhir ini.

Dalam mesyuaratnya pertengahan bulan lalu, Badan Perhubungan Negeri Selangor memutuskan menggerakkan kempen pendaftaran ahli baharu bagi membuktikan ramai yang mahu menjadi ahli PAS walaupun penyokong kumpulan serpihan itu keluar.

Mesyuarat itu memutuskan, setiap kawasan PAS di negeri itu dikehendaki mengumpul 500 ahli baharu dengan meminta setiap cawangan mendapatkan sekurang-kurangnya 15 dan setiap ahli jawatankuasa (AJK) kawasan mendapatkan 5 ahli baharu bagi mencukupkan bilangan.

Majlis pengisytiharan dan penyerahan borang ahli baharu itu akan dibuat setiap kawasan sempena Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (Pihak 13.0) pada 13 September ini, 2 hari sebelum pelancaran parti baharu yang bakal dinamakan Amanah.

Mesyuarat itu memutuskan, Pihak 13.0 akan diadakan di Banting, Selangor bagi memberikan gambaran PAS tidak terjejas dengan tindakan GHB.

Mutakhir ini, penggerak dan penyokong GHB mula meletakkan jawatan namun mengekalkan keahlian mereka dalam PAS menjelang pembentukan parti baharu mereka.

Ia bermula dengan PAS kawasan Kota Raja 19 Ogos lalu, dikuti Shah Alam pada malamnya dan Kelana Jaya 23 Ogos lalu, di Selangor.

Pada 23 Ogos juga, 91 AJK PAS kawasan dan cawangan di Gelang Patah, Johor meletakkan jawatan masing-masing.

Pada 24 Ogos pula, 6 AJK PAS Batu Gajah diketuai Naib Yang Dipertua Omar Bakar, meletakkan jawatan.

Ia dilakukan secara baik dalam mesyuarat bulanan PAS kawasan Batu Gajah dengan kesemua mereka menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Yang Dipertua PAS Kawasan, Dr Nuri Al-Amin.

Mereka akan kekal sebagai ahli PAS sehinggalah keahlian gugur secara automatik selepas menyertai parti baharu yang dijangka diumumkan 31 Ogos ini dan dijadual dilancarkan secara rasmi pada 16 September, bersempena Hari Malaysia.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: