"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Imej PAS tercalar selagi Nasharudin tidak bersihkan namanya, kata Amanah

Mohamad Fadli
PETALING JAYA: Imej PAS akan tercalar selagi bekas timbalan presiden PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa, yang masih menganggotai parti Islam itu, tidak tampil membersihkan namanya selepas didakwa menerima dana berkait 1MDB, kata seorang bekas pemimpin PAS.

Salahuddin Ayub, kini timbalan presiden Amanah, berkata pendedahan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengenai Nasharudin itu bukan tuduhan biasa, tetapi menggunakan akuan berkanun yang menurutnya mempunyai kesan besar dari segi perundangan.

“Oleh kerana Rafizi gunakan akuan bersumpah yang ditandatanganinya semalam, maknanya ia bukan tuduhan biasa.

“Oleh kerana kita ini orang politik, setelah apa berlaku ini memberi kesan kepada parti yang kita berada ketika itu, kecuali kita dapat tampil dan bersihkan nama kita.

“Saya harap Nasharudin tampil dan jelaskan. Itu bukan satu pertuduhan seperti di ceramah tetapi pendedahan yang berdasarkan nilai perundangan. Maka ia terpulang kepada Nasharudin untuk tampil ke depan bersihkan nama,” katannya kepada FMT.

Akuan berkanun yang ditandatangani Rafizi semalam mendakwa Nasharudin, yang kini mengetuai Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) tajaan Putrajaya, menerima sejumlah wang yang didakwa berasal dari SRC International, anak syarikat 1MDB yang menjadi fokus kontroversi sejak 2 tahun.

Rafizi, berdasarkan percakapannya dengan seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendakwa dana tersebut pada awalnya disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kemudian, sejumlah wang disalurkan kepada peguam tertentu sebelum sampai ke akaun Nasharudin.

Rafizi berkata perkara itu turut diketahui Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Khairuddin Aman Razali.

Salahuddin berkata Nasharudin boleh melantik peguam bertindak terhadap Rafizi jika merasakan imej dan kredebilitinya tercabar dengan pendedahan itu.

Manakala SPRM, katanya, perlu siasat dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut nilai perundangan yang ada.

Jambatan PAS-Umno

Sementara itu, seorang lagi pemimpin Amanah, Datuk Raja Bahrin Shah menyelar tindakan PAS yang menjarakkan diri daripada Nasharudin selepas Rafizi mendakwa beliau menerima dana berkait 1MDB.

Katanya, Nasharudin ketika dalam PAS suatu ketika dulu merupakan jambatan antara PAS dan Umno.

“Untuk mereka mengatakan Nasharudin tidak mempunyai kaitan dengan PAS, itu tidak benar.

“Sedangkan dia memainkan peranan penting dalam kerajaan ketika dalam kepimpinan PAS… sehingga sekarang main peranan penting antara 2 parti itu,” katanya.

Nasharudin yang tewas dalam pertandingan jawatan timbalan presiden kepada Mohamad Sabu pada 2011, kekal sebagai ahli PAS walaupun tidak aktif dalam kepimpinan tertinggi parti.

Beliau pada satu ketika didakwa giat berunding usaha mewujudkan kerajaan perpaduan Umno dan PAS, yang menerima kecaman mursyidul am PAS ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kita tidak pecat tapi kalau ia melibatkan kesalahan undang-undang, SPRM dan Bank Negara, pihak berwajib boleh mulakan siasatan,” kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, yang bagaimanapun berkata PAS tidak ada kena mengena dengan Nasharudin.

Najib berulangkali nafi mengambil dana berkait 1MDB sebanyak AS$700 juta seperti didedahkan The Wall Street Journal pada 2015. Sebaliknya, beliau mendakwa ia derma dari kerajaan Arab Saudi untuk membantu kempen pilihan raya Barisan Nasional pada 2013.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkan nama perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Tiada ulasan: