Beliau pernah dimangsakan oleh pihak tertentu semasa BN mentadbir Selangor, namun apa yang berlaku ketika ini dirasakannya lebih teruk.
Hanya kerana menyatakan pandangan yang berbeza dengan pucuk pimpinan parti suatu ketika dulu, satu demi satu kuliahnya ditamatkan.
Beliau ialah Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH), Ahmad Awang.
Ahmad bukanlah nama asing dalam PAS. Selain pernah mendapat kepercayaan menjadi pesuruhjaya di Perak, beliau juga berkhidmat sebagai naib presiden parti itu sebelum perjalanan politiknya mula menjadi 'gelap' apabila mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua tahun lalu.
Pada pemilihan jawatankuasa pusat di Kuala Selangor pada 2015, bukan saja Ahmad 'hanyut' daripada arus perdana PAS, malah hampir semua pemimpin yang tidak sealiran dengan Abdul Hadi dikalahkan.
Turut tersingkir bekas anggota parlimen Kuala Kedah, Mohamad Sabu.
Bersama beberapa pemimpin lain mereka kemudian menubuhkan AMANAH.
Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad berkata setakat ini berbelas masjid dan surau mengetepikan namanya daripada senarai penceramah tetap.
Malah katanya, ada tempat tertentu enggan lagi memberi ruang kepadanya mengajar selepas lebih 20 tahun menyumbang pengetahuannya di situ.
"Kebanyakan mereka tidak memaklumkan penamatan kuliah saya secara rasmi. Ada yang melalui mesej, ada melalui telefon malah ada juga yang berdalih," katanya.
Misalnya, cerita Ahmad, sebuah tempat di Selangor, beliau tidak diberikan ruang untuk menyampaikan kuliah bulanan atas alasan "bertembung dengan penceramah lain" pada tarikh yang sepatutnya.
Ia berlanjutan sebanyak tiga kali. Apabila disiasat, rupa-rupanya sejak awal lagi nama Ahmad diketepikan dan digantikan dengan penceramah lain.
"Itu berlaku sebelum saya keluar PAS lagi," katanya.
Ada yang bersimpati
Lebih menarik, katanya, ada orang memberitahu slot kuliahnya digantikan oleh ahli keluarga terdekat Abdul Hadi sendiri.
Katanya, tindakan masjid dan surau tertentu mengetepikannya itu seakan-akan dibuat sebagai suatu dasar parti apabila beliau bertanding untuk menjadi presiden PAS.
"Apabila saya keluar PAS, keadaan menjadi lebih buruk. Bagi sesetengah anggota parti itu, keluar PAS seolah-olah kita keluar Islam.
"Sesiapa yang menyertai parti lain akan dilayan seperti orang bukan Islam," katanya.
Lebih parah, kata Ahmad, ada pihak tertentu dalam PAS yang berasakan darah orang yang keluar parti itu seolah-olah halal.
Katanya, sekali imbas PAS kelihatan tidak ada bezanya dengan Umno yang pernah menguasai masjid dan surau di Selangor suatu ketika dulu.
Namun apabila difikirkan kembali, sebenarnya keadaan masjid dan surau di bawah kelolaan anggota PAS ketika ini jauh lebih buruk walaupun hanya berdepan dengan perbezaan pandangan politik.
"Sekarang ada tempat yang sudah menyekat saya lebih dua tahun. Dulu semasa Umno mentadbir Selangor, saya cuma pernah dihalang paling lama setahun," katanya.
Namun Ahmad tetap terbuka dan mengakui ada segelintir anggota PAS masih bersikap rasional dan bersimpati dengan orang sepertinya.
"Mereka inilah yang kadang-kadang menyampaikan maklumat kepada saya," katanya.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan