"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RM29 bilion, Separuh hasil kutipan GST untuk bayar faedah hutang kerajaan

MALAYSIA DATELINE
Bajet Negara 2017
Dianggarkan RM29 bilion terpaksa dibelanjakan kerajaan BN untuk membayar faedah hutang bagi tahun 2017 dan ia melebihi separuh wang hasil cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikutip kerajaan.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, setakat April 2017 jumlah hutang Kerajaan Persekutuan seperti yang disiarkan oleh Perbendaharaan adalah sebanyak RM649 bilion.

Dari jumlah itu, katanya bentuk hutang terbesar negara adalah kertas hutang kerajaan Malaysia (MGS) pada jumlah RM357 bilion, diikuti dengan kertas hutang terbitan pelaburan kerajaan (GIIs) sebanyak RM235 bilion.

"Hutang-hutang dalam bentuk kertas hutang yang diterbitkan ini perlu ditebus oleh Kerajaan Malaysia bila sampai tarikh matangnya. Sementara menunggu matang, Kerajaan Malaysia perlu membayar faedah tahunan (selalu disebut sebagai 'coupon rate') mengikut kadar yang diurusniagakan di pasaran hutang," ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, lebih stabil sesebuah kerajaan dan lebih tinggi reputasi kewangannya, maka pelabur sanggup untuk mendapat bayaran bunga yang lebih rendah demi memegang kertas hutang tersebut.

"Jika kerajaan itu tidak dihormati dan dicurigai, pelabur tidak ada keyakinan dan kadar faedahnya pun didagangkan tinggi," jelas beliau.

Oleh sebab itu, katanya reputasi antarabangsa kerajaan Malaysia di mata pelabur adalah sangat penting kerana ia menentukan jumlah bayaran faedah yang perlu dibayar dan ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, tambah beliau skandal 1MDB yang merosakkan nama baik Malaysia telah menyebabkan pelabur-pelabur mahukan pulangan yang lebih tinggi bagi setiap ringgit kertas hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia.

Beliau yakin jika reputasi kewangan Kerajaan Malaysia dipulihkan, pentadbiran baru Pakatan Harapan boleh meyakinkan pasaran dan pelabur.

Keyakinan para pelabur ini, jelas beliau akan diterjemahkan dalam bentuk kadar faedah rendah ke atas kertas-kerta hutang yang diterbitkan.

"Saya tidak terkejut kadar faedah itu boleh turun sehingga 1% berbanding kadar sedia ada yang diterjemahkan kepada penjimatan sebanyak RM6.5 bilion setahun," ujarnya.

Tiada ulasan: