MALAYSIA DATELINE
Qatar beralih kepada Iran dan Turki untuk mendapatkan bekalan makanan dan air bagi mengatasi kemungkinan kekurangan bahan itu, dua hari selepas pembekal terbesarnya, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi, memutuskan hubungan perdagangan dan diplomatik dengannya.
“Kami berbincang dengan Turki dan Iran serta beberapa negara lain,” kata seorang pegawai Qatar yang enggan dikenali.
Menurutnya, bekalan itu akan dibawa ke negara itu dengan pesawat Qatar Airways.
Pegawai itu juga berkata, Qatar mempunyai bekalan bijirin secukupnya dalam pasaran di negara itu yang boleh bertahan sehingga empat minggu dan kerajaan juga mempunyai jumlah besar rizab makanan strategik di Doha.
Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain memutuskan hubungan dengan Qatar serta menutup ruang angkasa mereka kepada penerbangan komersial Isnin lalu dengan menuduhnya membiayai kumpulan militan.
Qatar menyangkal tuduhan itu. Ia adalah perpecahan terburuk dalam kalangan negara Arab sejak beberapa tahun lalu.
Sengketa Qatar dengan Arab Saudi dan negara Arab lain itu bermula dengan kerajaan Qatar mengkritik tindakan negara itu kerana menjadikan Iran musuh.
Qatar mencetuskan rasa tidak puas hati negara jiran Arabnya kerana memberi perlindungan kepada pemimpin Ikhwanul Muslimin yang diisytiharkan Mesir sebagai pengganas.
Dalam perkembangan berkaitan, presiden Amerika Syarikat Donald Trump menawarkan bantuan untuk menyelesaikan krisis diplomatik yang semakin buruk antara Qatar dengan beberapa negara Arab di saat Emiriah Arab Bersatu menyarankan Doha dikenakan sekatan ekonomi kerana didakwa menyokong aktiviti pengganas.
Trump menggesa tindakan diambil terhadap kumpulan pengganas ketika menghubungi Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, menurut satu kenyataan Rumah Putih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan