SUNGAI SIPUT - Mungkin kedengaran pelik dan luar biasa namun kejadian ini benar-benar berlaku.
Seorang lelaki warga emas terpaksa menahan sakit hampir 30 minit selepas kemaluannya tersepit di celah kerusi plastik di rumahnya, petang tadi.
Lelaki berusia 80 tahun itu berdepan detik mencemaskan apabila kemaluannya tersepit ketika duduk atas kerusi berkenaan di rumahnya di Kampung Baru Simpang Jalong, di sini.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Mohammad Zaidi Md Lazim mengesahkan laporan ketika dihubungi.
Menurutnya, anggota bergegas ke rumah warga emas tersebut sebaik menerima laporan kejadian berhubung kes itu, petang tadi.
"Setibanya di rumah mangsa, warga emas tersebut masih berada di atas kerusi. Ketua Operasi kemudian mengarahkan anggota membantu mangsa,” katanya.
Katanya, anggota bomba berjaya mengeluarkan kemaluan mangsa yang tersepit dari kerusi itu menggunakan peralatan khas.
"Mangsa kemudian diberi rawatan. Lelaki warga emas itu tidak mengalami kecederaan serius. Operasi kemudian tamat kira-kira jam 7.20 petang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan