"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas dicadang panggil pilihanraya Nenggiri, uji senario politik Kelantan

BORHAN AHMAD
Pas dan kerajaan negeri Kelantan disaran mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar diadakan pilihan raya kecil di DUN Nenggiri untuk menilai kedudukan politik di negeri itu.

Penulis politik Mohd Sayuti Omar dalam tulisan di facebooknya berkata, berdasarkan kenyataan SPR ekoran kekosongan kerusi itu, Speaker DUN Kelantan mempunyai budi bicara untuk mengadakan pilihan raya di situ atau tidak selepas selepas tiga tahun penggal DUN berlalu.

"Jika benar kenyataan SPR itu, elok rasanya Speaker Kelantan memberi laluan agar diadakan pilihan kecil di Nenggeri sebagai testimoni kedudukan dan senario politik di Kelantan hari ini.

"Biarlah nanti kerusi itu menjadi rebutan tiga komponen, BN, Harapan dan Pas," kata Sayuti dalam tulisan itu merujuk politik Kelantan yang serba panas sekarang ini selepas Pas berpecah menghasilkan Amanah dan lahirnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia selepas Umno juga berpecah.

Amanah dan Bersatu pula bergabung dengan PKR dan DAP membentuk Pakatan Harapan atau Harapan saja melalui logo bersama yang bakal mereka daftarkan.

Pas telah memerintah Kelantan sejak 1990 apabil berjaya mengambil alih negeri itu selepas bergabung dengan Parti Melayu Semangat 46. Kini Pas tinggalk bersendirian.

Kata Sayuti, jika pilihan raya diadakan, semua pihak boleh menilai komponen mana yang akan dipilih rakyat nanti.

"Apakah Speaker Dun Kelantan berani untuk menulis memohon kepada SPR agar diadakan pilihan raya kecil?

"Atau pun dia akan menggunakan alasan bahawa kedudukan kerajaan Pas Kelantan tidak terjejas dengan kekosongan itu?

"Rasanya begitulah," kata Sayuti yang dipercayai menyindir Pas.

Dalam surat balas berkaitan dengan kekosongan kerusi Nenggeri apabila wakilnya diisytiharkan muflis, SPR Kelantan mengatakan pilihan raya kecil di kerusi itu boleh diadakan sekiranya Speaker Kelantan memutuskan demikian.

Peraturan pilihan raya tidak perlu diadakan selepas tiga tahun sesuatu penggal parlimen itu berlalu tidak tertakluk dalam kes ini, kata kenyataan SPR itu.

"Ia terserah kepada budibicara Speaker dan SPR hanya akan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya," katanya.

Speaker Kelantan mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri di Gua Musang, kosong selepas penyandangnya, Datuk Mat Yusoff Ab Ghani, disahkan muflis.

Datuk Abdullah Ya'kub berkata, pihaknya menerima surat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Selangor pada 28 Mei lalu, memaklumkan Mat Yusoff yang juga wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Nenggiri sejak 2013, disahkan muflis.

"Sebelum ini penasihat undang-undang Negeri Kelantan juga menerima surat sama pada 21 Mei 2017 yang memaklumkan kebangkrapan Mat Yusoff yang juga ADUN Nenggiri (N43).

"Mengikut Perkara 3 (1) Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri Kelantan menyatakan seseorang itu tidak layak menjadi ADUN jika muflis yang belum diselesaikan lagi.

"Dengan ini saya sebagai Speaker Kelantan mengisytiharkan Mat Yusoff tidak layak menjadi ADUN akibat muflis," katanya dalam sidang media di pejabatnya, 1 Jun lepas.

Tiada ulasan: