Pakatan Harapan Perak membawa bantahan senarai pengundi mencurigakan kepada SPR
Tindakan Adun Hutan Melintang, S Kesavan mengusung tikar dan bantal ke pejabat SPR di Ipoh adalah simbolik kepada penegasan untuk tidak berganjak selagi bantahan berhubung senarai pengundi hantu enggan diterima SPR.
Pakatan Harapan Perak membawa bantahan senarai pengundi mencurigakan kepada SPR
Tindakan Adun Hutan Melintang, S Kesavan mengusung tikar dan bantal ke pejabat SPR di Ipoh adalah simbolik kepada penegasan untuk tidak berganjak selagi bantahan berhubung senarai pengundi hantu enggan diterima SPR.
Ahli jawatankuasa Amanah Perak, D.S. Nali Raja berkata, Pakatan Harapan negeri berkenaan menemui fakta mengejutkan apabila menyiasat lebih 3,000 pengundi baharu yang didaftarkan di Hutan Melintang hanya dalam tempoh dua bulan itu.
Hasil semakan, ujarnya, mendapati seramai 321 pemilih berketurunan India yang dibawa dari luar kawasan seperti Taiping dan Parit Buntar dikesan didaftarkan di Dun Hutan Melintang.
"Difahamkan hal ini berkaitan dengan kemungkinan BN mahu letak Ketua MIC Perak sebagai calon bertanding di Hutan Melintang.
"Kita juga ada kes pasangan warga emas Melayu yang sudah pun membuat laporan polis di Hutan Melintang apabila alamat rumahnya turut menjadi 'tempat tinggal' 20 pengundi India.
"Terdapat juga kes tiga, empat rumah Cina yang berkongsi alamat dengan pengundi India. Pelik, bukan?" ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Turut hadir di pejabat SPR Ipoh itu Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, Adun Buntong, S. Sivasubramaniam dan Adun Sungkai, A. Sivanesan.
Nali memberitahu sebanyak 2,300 nama pemilih meragukan yang diperoleh daripada senarai rang daftar pemilih tambahan (RDPT) telah dibawa kepada pihak SPR.
"Kita susun satu demi satu kes. Kita tiba di pejabat SPR pukul 2 petang bukan waktu pejabat tutup. Kerani SPR kata mereka tidak terima sebab tempoh bantahan sudah tamat.
"Kata kerani itu lagi, tanpa resit mereka boleh terima tapi kalau dengan resit mereka tidak terima.
"Masalahnya tanpa resit, alamatnya dia buang ke longkanglah," tegas Timbalan Biro Integrasi Amanah Perak itu.
Mengulas lanjut aksi Kesavan, beliau berkata, seorang pegawai SPR Perak pun enggan menemui wakil rakyat itu walaupun Kesavan 'berkampung' di pejabat tersebut sehingga pukul 7 petang.
"Semalam, kita sudah pun kumpul RM3,000 sedia untuk bayar kepada SPR tetapi seorang pegawai pun tak muncul," keluhnya.
Sehubungan itu, Nali berkata, pihaknya kecewa dengan sikap dan integriti SPR yang dilihat berat sebelah.
"Adakah SPR bekerja untuk kepentingan satu pihak saja? Sepatutnya, SPR berperanan adil sebagai badan bebas. Kami di pejabat SPR tidak berganjak walaupun kira-kira 50 anggota polis dan FRU datang jerit dari luar.
"Mulanya kami sampai di pejabat SPR pukul 2 petang, alasan diberi pegawai-pegawai kanan sedang bermesyuarat. Kalau misalnya, bangunan SPR itu terbakar, adakah mereka ini juga menghilangkan diri?" bidasnya.
Beliau juga mempersoal perbelanjaan besar SPR bagi kelengkapan perisian yang mencecah berbilion ringgit seperti pernah dimaklumkan di Parlimen.
"Sebenarnya tugas SPR untuk buat semakan dan siasatan senarai pemilih bukan tugas kita. Takkan, dalam tempoh empat tahun (selepas PRU-13), habis semua duit itu?
"SPR ada di situ juga. Kenapa tidak boleh siasat bersihkan daftar pemilih? Kenapa berlaku pemindahan pengundi dengan ketara begitu meragukan?
"Hak pengundi nampaknya dinafikan apabia maklumat mereka berisiko disalahguna," tambah Nali lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan