SEBELUM Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, Presiden PAS Hadi Awang antara yang terawal mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon perdana menteri (PM). Semasa isu peralihan jawatan menteri besar (MB) Selangor, PAS sendiri antara terawal mencalonkan MB dari PAS, walaupun secara konsensus, PAS sendiri bersetuju bahawa calon MB Selangor dari PKR.
Namun kali ini, haji Hadi pula menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) awalkan pencalonan PM sebagai tidak ikut adab ajaran Rasulullah.
Tindakan presiden PAS itu amat jelas bahawa Hadi amat tidak konsisten dalam mengamalkan agama. Sikap beragama cara Hadi ini, satu sudut amat bahaya dan mampu mengelirukan pengikut beliau sendiri dalam memahami agama.
Peliknya bahawa sebelum ini, Hadi menuduh Lim Kit Siang mahu menjadi PM. Apabila Lim Kit Siang mengulangi bahawa tidak mahu menjadi PM, dan PH menyatakan akan menamakan calon PM dari bangsa melayu beragama Islam, Hadi pula mendakwa bahawa mencalonkan calon PM dari PH itu sebagai tidak ikut adab yang diajar oleh Rasulullah.
Dari sudut kajian fiqh politik pula, secara dasarnya, semua ulama fiqh sepakat menyatakan politik menurut Islam adalah berasaskan kemaslahatan kepada rakyat. Antara ulama yang menyatakan begitu adalah al-Qaradawi dalam bukunya, siyasah Syar'iyah dan Allal al-Fasi dalam bukunya Maqasid syariah wa makarimuha.
Ekoran itu, semua ulama sepakat menyatakan bahawa dalam negara yang aman, berperang adalah dilarang. Walaupun suruhan perang itu wujud dalam al-Quran, tetapi perang menurut fiqh politik adalah untuk capai kemaslahatan. Justeru, berperang di negara aman bukan tercapai kemaslahatan, sebaliknya mendatangkan kerosakan. Makanya, dalam negara aman, perang adalah dilarang, walaupun suruhannya wujud dalam Quran.
Soal awal percalonan PM adalah isu melibatkan kemaslahatan rakyat dalam berhadapan dengan kebejatan kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang memerintah. Justeru, tindakan PH dalam berhadapan dengan kebejatan negara yang dilakukan oleh Najib Razak dan BN tidak bercanggah dengan roh adab ajaran Rasulullah.
Sewajarnya presiden PAS lebih memikirkan politik sebagai mekanisma untuk memberi kebaikan kepada rakyat secara sejagat. Bukan memperalatkan teks wahyu untuk memberi kekuatan kepada BN yang saban hari semakin kelihatan merosakkan sistem politik dan membebankan ekonomi rakyat bawahan.
Hadi sewajarnya mengikut ajaran Islam yang mengajar agar tidak asobiyyah, iaitu mengelak dari membantu kezaliman yang dilakukan oleh kaum dan bangsa sendiri. Saya berpendapat, itu baru benar-benar mengikut roh adab ajaran Rasulullah. – 23 Disember, 2017.
* Wan Ji bin Wan Hussin adalah pegawai penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan