"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Musuhi hanya kerana bukan Islam bercanggah ajaran Islam sebenar

ZIKRI ABDULLAH

Umat Islam yang menganggap seseorang itu musuh hanya semata-mata kerana dia bukan Islam adalah bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Pengerusi panel syariah AMANAH Kelantan Ustaz Hj Hashim Mohd berkata, fahaman seperti itu berlawanan dengan apa yang dilakukan Rasulullah S.A.W sendiri.

“Kita perlu ingat bahawa ketika Nabi diutus menjadi Rasul hanya beliau seorang diri sahaja yang Islam.

“Kalau baginda bertindak memusuhi semua yang belum Islam di kelilingnya, tentu Islam tidak berkembang,” katanya ketika memimpin tanweer bulanan pimpinan AMANAH Kelantan di Jeli malam tadi.

Dalam ajaran Islam katanya, permusuhan dengan orang kafir hanya ketika berlaku peperangan.

“Memanglah semasa perang mereka memusuhi kita dan kita memusuhi mereka. Semua orang Islam tahu bahawa perang ialah jalan terakhir dalam interaksi dengan bukan Islam. Itupun apabila umat Islam diperangi,” katanya.

Dalam konteks orang bukan Islam di Malaysia katanya tidak pernah terjadi orang bukan Islam memerangi kaum Muslimin atas nama agama.

“Oleh itu kita tidak harus mengkategorikan DAP, MCA, MIC dan apa sahaja sebagai golongan yang perlu dimusuhi.

“Malah seharusnya kita sentiasa mencari jalan untuk mengadakan hubungan dan berbuat baik kepada mereka supaya mudah-mudahan mereka menerima Islam,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya lagi kumpulan seperti MCA dan MIC harus ditolak kerana mereka berpakat dengan pemerintah yang menzalimi rakyat.

“Kita tolak mereka kerana hal ini dan bukan kerana mereka tidak beragama Islam,” katanya.

Tiada ulasan: