The Malaysian Insight
MAKA tahulah kita yang Presiden PAS Abdul Hadi Awang percaya hanya orang Islam boleh menjadi anggota Kabinet dalam mana-mana negara Islam, dan mereka yang berlainan agama hanya boleh memainkan peranan membantu.
Kita juga tahu bagaimana hendak berurusan dengan mereka yang taksub, perkauman dan mereka yang memandang hina orang lain yang berlainan kepercayaan atau warna kulit.
Senang saja, kita tolak mereka. Kita tidak berdebat dengan mereka. Kita tidak bertolak ansur dengan mereka. Kita tidak mempertahankan mereka.
Kita ketepikan saja orang seperti Hadi Awang yang percaya orang bukan Islam mesti diturunkan jadi kelas kedua di negara tanah kelahiran mereka ini.
Soalan seterusnya, bagaimana rakyat Malaysia melayan pihak yang bersekongkol dengan Hadi Awang? Kita bercakap tentang ahli politik yang merangkul Hadi Awang dan pandangannya.
Mereka ini termasuk ahli-ahli partinya dalam PAS, dan mereka yang mesra dengan parti itu seperti Perdana Menteri Najib Razak serta beberapa pemimpin Umno.
Wajarkah kita mengecam mereka sama seperti kita mengecam Hadi Awang? Wajarkah kita kaitkan mereka dengan kenyataan Hadi Awang tentang politik yang hanya sehala dan taksub?
Wajarkah kita bimbang pandangan Hadi Awang itu akan diterima oleh kerajaan Umno yang akan datang, memandangkan beliau dan parti Islamnya sekarang sedang dijaja sebagai senjata utama Najib pada pilihan raya umum nanti?
Sekiranya Najib Razak dan sekutunya tidak mengutuk Hadi Awang dan mengasingkan diri daripada pandangan yang perkauman seperti itu, bolehkah kita beranggapan yang mereka pun berfikir sama seperti beliau? Setakat ini, hanya MIC, MCA dan Gerakan yang sudah tampil mengkritik Hadi Awang, tetapi belum ada seorang pun daripada Umno.
Dalam masa 12 bulan yang lepas, Najib dan Hadi Awang sudah jadi sahabat akrab. Pada pilihan raya akan datang ini, Umno yang dipimpin oleh Najib dan PAS pimpinan Hadi Awang akan bekerjasama secara tidak rasmi.
Kita tahu siapa Hadi Awang dan apa pendiriannya.
Persoalannya, apa kita hendak buat dengan mereka yang bersekongkol dengan presiden PAS itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan