Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Beh Eng Lai berkata kejadian disedari seorang penduduk yang melalui kawasan surau itu pada 2.10 pagi tadi apabila melihat pintu pagar dan pintu jeriji surau terbuka.
"Lelaki berkenaan (pengadu) kemudian mengambil rakannya dan kembali ke surau itu bagi membuat pemeriksaan lalu mendapati seunit kipas mudah alih hilang, naskhah al-Quran dan Yassin berselerak manakala beberapa rak dan jam besar juga dialihkan dari kedudukan asal.
"Pemeriksaan turut mendapati barangan di dalam stor seperti lampu, vakum, al-Quran, naskhah Yassin, sejadah dan wayar elektrik turut diselongkar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beh berkata lelaki terbabit dan rakannya turut mendapati beberapa helaian al-Quran dibakar berhampiran laluan ke bilik air lalu melaporkannya kepada polis.
Beliau berkata siasatan polis di surau itu mendapati tiada kesan umpil pada mana-mana bahagian masuk surau, namun terdapat kesan umpil pada tabung surau selain kerosakan pada rak dan alatan dalam stor akibat diselongkar.
Pemeriksaan di laluan bilik air di luar surau mendapati ada buku agama terbakar, namun, ia bukan al-Quran kerana terdapat cebisan kertas yang masih tidak terbakar yang mengandungi perkataan rumi disyaki buku agama.
"Pemantauan dijalankan mendapati tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di tempat kejadian ataupun kawasan sekitar.
"Tiada saksi yang melihat kejadian itu dan usaha mengesan cap jari juga tidak menemukan sebarang kesan cap jari," katanya.
Menurutnya usaha mengesan suspek sedang digiatkan.
Beh berkata siasatan awal percaya suspek membakar buku agama itu kerana berang tidak dapat mencuri wang tabung masjid yang disimpan di dalam peti besi.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Hidayah Hassan Sabudin yang dihubungi berkata pintu surau berkenaan memang tidak dikunci bagi memudahkan penduduk menunaikan solat kerana ada yang mengunjungi surau berkenaan pada waktu malam.
"Sebelum ini, memang selalu berlaku pecah masuk, biasanya penjenayah hanya masuk untuk 'pancing' duit dari tabung," katanya yang mengesahkan laporan berhubung kejadian dibuat di Balai Polis Taman Universiti, Skudai.
-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan