"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amanah nafi abai Nik Omar selepas PH tawan Putrajaya

Adam Abu Bakar

PETALING JAYA: Amanah menafikan tuduhan parti itu meminggirkan anak bekas mursyidul am PAS Nik Omar Nik Abdul Aziz dengan tidak memberikan sebarang jawatan kepadanya selepas pilihan raya umum ke-14.

Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir berkata, tuduhan Mohd Sabri Salleh yang juga sepupu Nik Omar tidak berasas memandangkan anak kepada tokoh PAS itu sendiri tidak pernah meminta dan menggesa parti memberikan jawatan kepadanya.

“Nik Omar tidak pernah minta apa-apa pun, dia berjuang atas nama reformasi negara. Kadang-kadang orang yang tidak ada kena mengena yang lebih. Kuat benar orang-orang seperti ini buat fitnah, walaupun tahu perkara ini tidak benar.

“Dia (Nik Omar) tetap merupakan salah seorang ahli yang kami hormati dan kalau sekadar hendak menimbul fitnah, jangan timbulkan. Kenapa dia hendak memberikan komen sebegitu,” katanya kepada FMT.

Mohd Sabri sebelum ini mendakwa Nik Omar merupakan watak penting ketika berkempen dan sewajarnya pemimpin berkenaan diangkat untuk membina imej baru kepada Pakatan Harapan (PH).

Mohd Sabri merupakan adik Setiausaha Dewan Ulama Pas, Dr Nik Zawawi Salleh. Beliau merupakan individu yang membuat laporan polis terhadap Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebelum PRU14 yang kononnya PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno.

Mengulan lanjut, Anuar berkata bukan perkara mudah untuk parti memberikan jawatan dalam kerajaan kepada ahli memandangkan terdapat sesetengah jawatan memerlukan perkenan dari Yang Di-Pertuan Agong.

“Hendak bagi ganjaran kepada sesiapa itu tidak mudah, kena lihat keadaan dan suasana bahkan ada peraturannya. Bukannya boleh kita lantik sesiapa sahaja, ada sesetengah itu perlu dapat perkenan Agong.

“Hendak lantik jawatankuasa kemajuan kampung (JKK) juga susah. Jadi tolonglah jangan laga-lagakan orang kerana pilihan raya sudah habis, sekarang ini masa kita bekerja ke arah Malaysia yang baru,” katanya.

Mengulas mengenai gesaan supaya Nik Omar diberikan jawatan dalam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Anuar berkata pihaknya sedang mempertimbangkan perkara itu namun menegaskan ia tidak dapat dilakukan segera.

“Memang semua ini kita tengah pertimbangkan tetapi bukan boleh buat dengan segera, berapa orang yang sudah kita lantik sekarang ini, tidak ada,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan Mohd Sabri memutuskan keluar dari parti, Anuar berkata parti tidak pernah menghalang mana-mana ahli keluar parti dan menyertai mana-mana parti lain.

“Kalau tidak suka dengan Amanah, ‘get out’ sudah. Saya bila-bila masa boleh batalkan nama, tulis surat kepada saya segera,” katanya.

Pada 10 September lalu, Mohd Sabri mengumumkan keluar Amanah dan melepaskan jawatan sebagai ahli jawatankuasa Amanah Pasir Puteh.

Katanya, keputusan itu tidak dibuat secara tergesa-gesa malah melalui penelitian sejak beberapa bulan lalu.

Beliau bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan pemimpin pusat terutamanya Presiden Mohamad Sabu yang dilihat gagal menyelesaikan isu parti.

Tiada ulasan: