"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selagi AMANAH tidak menang di Kelantan, Terengganu …

AHMAD LUTFI OTHMAN 

Cabaran lebih besar menunggu di zaman AMANAH menjadi sebahagian daripada kerajaan dan pimpinannya dilantik anggota pentadbiran.

Sekitar jam 5 pagi. Menjelang Subuh, Sabtu, 22 September. Saya terbangun selepas mendapat cukup rehat susulan rutin dialisis yang meletihkan pada sore tadi.

Sempat menatap mesej yang masuk, sebelum ke bilik air. Dua tiga teman memaklumkan mereka dalam perjalanan ke Temerloh. Menghadiri sambutan ulangtahun ketiga Parti Amanah Negara di kampung pahlawan bangsa.

Sememangnya saya berhasrat untuk turut sama menyelit menyaksikan kemeriahan acara penuh bersejarah itu. Tetapi seperti tekad sama sebelumnya, keuzuran menghalang dan saya hanya dapat mengikuti momen-momen menarik itu melalui lintas langsung FB sahaja.

Terima kasih kepesatan teknologi maklumat yang menghubungkan dunia tanpa sempadan ini. Proses pendemokrasian pun turut bertambah matang. Tiada yang jauh tidak terjangkau lagi walaupun kepada orang kurang upaya. Alhamdulillah.

Tiga tahun adalah usia terlalu muda dan mentah. Namun dalam politik, seminggu pun sudah lama. Pelbagai perubahan boleh dicorakkan. Malah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia lebih junior, tetapi ketuanya menjadi perdana menteri. Ada parti setahun jagung dapat menumbangkan kerajaan negeri, seperti beberapa kali berlaku di Sabah.

Sahabat dan bekas bos saya di Harakah, Zin Mahmud, menulis, biarpun AMANAH berusia tiga tahun, para pemimpin kanan dan pengasasnya sudah berkecimpung aktif dalam politik sejak 35 tahun lalu dan turut menggerakkan perubahan besar dalam Pas, pada 1983.

Di samping itu, roh dan semangat perjuangan AMANAH mengalir panas dalam rantaian panjang siri kesedaran gerakan tajdid dunia Islam bermula akhir abad ke-19 lagi.

Meskipun ketika detik-detik kritikal pergeseran berkocak dalam Pas saya kerap berkurung di rumah, saya dapat merasai kegelisahan itu.

Episod demi episod berlangsung secara dramatik. Pecah menuju belah. Rakan-rakan yang terusir setandan berdepan masa depan yang kabur. Pastinya tidak mudah merumuskan solusi apabila tersekat di jalan mati.

Mungkin pada awalnya tidak ramai yang suka memilih opsyen menubuhkan parti Islam yang baru. Allah melorongkan kemudahan untuk masing-masing bersepakat menerima ilham agar masa tidak dibazirkan masa untuk membuat eksperimen politik.

Dari Gerakan Harapan Baharu bertukar kulit menjadi wadah siyasah yang progresif, inklusif dan peduli. Dengan pendekatan Islami yang lebih segar dan mewangi, Rahmatan lil ‘Alamin. Didukung pemimpin dan aktivis yang tahan uji, istiqamah, berpengalaman, berminda terbuka, seterusnya bersedia menempuh cacimaki dan fitnah menghiris, termasuk dari rakan taulan sendiri.

Kebetulan saya lebih mengenali dan agak akrab dengan beberapa pimpinan utama pengasas AMANAH. Menyaksikan personaliti yang lasak, berketrampilan, jujur, pembela golongan marhaen dan tertindas, mudah didampingi, merendah diri, pemacu perubahan dan tidak asing, malah serasi dengan sekutu pembangkang yang lain.

Apa pun, ada pihak menyifatkan kelompok 18 “jebon” yang disingkirkan perwakilan pada Muktamar Pas 2015 itu begitu naif untuk membaca grand design bagi menghalau mereka keluar.

Ternyata tidak mudah untuk menerima kewujudan sebuah lagi parti Islam. Apatah pula tidak ketara penyimpangan Pas daripada prinsip asas agama. Semasa kempen pemilihan parti 2015, jawatan presiden bukan menjadi sasaran, malah kumpulan “profesional” tidak secara terbuka mahu mengetepikan Ustaz Abdul Hadi Awang. Dalam pada itu, sudah sekian lama menjadi pegangan ahli Pas tentang keperluan jamaah Islam yang tunggal.

Babak-babak getir berdepan cemuhan dan kecaman sudah dirakam sejarah. Sehingga ada “fatwa” halal darah oleh pimpinan Pas, bertaraf tok guru. Semua insideb itu merancakkan lagi proses percambahan dan kematangan parti baharu.

Para pemimpin AMANAH, sebagaimana latar tahan uji berdepan tribulasi sebelumnya, mampu meredah pelbagai gugatan baharu. Dengan sabar mereka bersama-sama membentuk muafakat pembangkang, Pakatan Harapan, menggantikan kolisi yang terburai, Pakatan Rakyat. Tidak senang untuk memposisikan diri di kala rakan sekutu melihatnya sebagai parti kecil dan kerdil.

Sedari awal, saya sudah menjangka kesulitan AMANAH untuk menuntut jumlah kerusi pilihan raya yang berpadanan. Apa kayu ukur yang boleh dijadikan rujukan atau terma rundingan? Bilangan keahlian atau cawangan di peringkat akar umbi? Personaliti parti yang berpengaruh dan popular? Jelas AMANAH tidak banyak kelebihan daripada sudut itu.

Benar sekali, kesepakatan rundingan kerusi tidak disambut gembira oleh ahli-ahli AMANAH. Walaupun Dr Mahathir Mohamad mengisytihar secara terbuka di hujung konvensyen Pakatan Harapan, Januari 2018, bahawa kesediaan AMANAH menerima jumlah kerusi Parlimen yang kecil itu telah menyelamatkan keadaan, rasa terbuku di dada sukar diredakan.

Tanpa kerelaan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, mematuhi ketetapan kerusi, Pakatan Harapan dibayangkan menemui jalan buntu dan tidak mampu menawarkan alternatif terbaik buat rakyat.

Rakan-rakan saya di Kuala Lumpur tambah terkilan apabila AMANAH langsung tidak mendapat sebarang kerusi. Wilayah Persekutuan pula tidak mempunyai kerusi Dun seperti negeri-negeri lain yang boleh dijadikan “pampasan” atau tukar ganti.

Dua pemimpin utama AMANAH Wilayah, pengerusi Dr Hatta Ramli dan timbalannya Tarmizi Mat Jam bertanding di Perak, masing-masing di Lumut dan Parit. Untuk tempoh yang agak pendek, aktivis parti di Wilayah bagai anak ayam kehilangan ibu.

Mungkin hasil tarbiyah yang agak panjang, bermula dalam parti lama, ahli-ahli AMANAH cepat menyesuaikan diri dengan keputusan parti. Menyedari kudrat sebuah parti baharu dan kepentingan merapatkan saf menumbangkan regim keleptokrat, PRU14 dihadapi penuh iltizam.

Alhamdulillah, rakyat menggenggam erat, bahkan menggigit kemas tekad perubahan. Revolusi tanpa-darah terpahat dalam sejarah Malaysia Baharu. Kemenangan milik semua. Bukan hak parti-parti yang mendapat kerusi terbanyak. Bukan kepunyaan Pakatan Harapan sendiri.

Tetapi milik rakyat Malaysia seluruhnya. Mereka mungkin tidak kenal PH, mahupun PKR yang digunakan lambangnya sebagai logo bersama, apatah lagi parti-parti komponen yang lain. Rakyat nekad untuk menolak Umno-BN. Rakyat pemberani!

Justeru, saya senang hati sekali melihat Perdana Menteri menyusun kabinet atas prinsip semua parti dalam PH dilayan sebagai equal partner.

Hampir semua ahli Parlimen AMANAH mendapat kedudukan strategik dalam pentadbiran kerajaan sebagai menteri dan timbalan menteri. Saya sukar menduga apa mesej Dr Mahathir apabila melantik Khalid Samad, MP Shah Alam sebagai Menteri Wilayah selepas tiada seorang pun wakil AMANAH yang terpilih sebagai calon PH di Wilayah Persekutuan.

Lima menteri, lima timbalan menteri, seorang ketua menteri, dua Speaker Dun, tiga Exco kerajaan negeri di Perak dan Kedah, masing-masing dua di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan. Tanggungjawab serta amanah berat menunggu.

Umno ditimpa masalah tidak terpikul selepas diheret menjadi oposisi, tanpa kuasa, pengaruh dan dana. AMANAH pula dihadapkan cabaran perit dan kebijaksanaan untuk menguruskan parti di kala semua pimpinan utama disibukkan dengan urusan rasmi kerajaan.

Ya, Umno dilanda krisis apabila gagal menangani magik kuasa dan takhta. Ia menggelonsor terjunam bersama wang berbilion, dengan kuasa mutlak menguasai kerajaan.

Dr Mahathir, beberapa kali meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasi jemaah menterinya, mungkin disebabkan masih terlalu junior.

Namun Malaysia yang hampir bankrap dan sarat dengan tinggalan pelbagai penyelewengan, tidak mampu untuk menunggu masa lebih lama untuk dirawat dan dipulihkan.

Sudah pasti kritikan Dr Mahathir itu juga terarah kepada menteri-menteri AMANAH. Mereka perlu cepat belajar, pantas menyesuaikan diri serta bingkas menimba pengalaman selok-belok pengurusan dan pentadbiran kerajaan.

AMANAH, sebuah parti Islam, dengan keahlian terbuka kepada semua, meskipun berbeda dengan Pas dan tidak pula berhasrat menjadi Pas 2,0, tetapi ia perlu mendapat sokongan meluas di kawasan majoriti pengundi Melayu, sekali gus pesaing kuat Pas.

Diakui AMANAH mendapat tempat dan sokongan menggalakkan di kawasan bandar dan semi kota, penempatan kelas menengah, tetapi bagaimana pengaruhnya di kawasan kampung tradisional?

Apa respons penduduk terhadap parti baharu ini di wilayah majoriti Melayu, terutama di kubu Pas, seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan sebahagian Pahang?

Dan sememangnya AMANAH diberi kepercayaan menerajui Pakatan Harapan di Kelantan dan Terengganu, tetapi bukan sahaja gagal memperolehi sebarang kerusi Dun dan Parlimen, malah kebanyakan calon-calonnya hilang wang pertaruhan dalam PRU14.

Begitu juga di kerusi-kerusi majoriti Melayu di Kedah dan Pahang. Pas masih berkuku di sana. Di Pahang, AMANAH gagal memenangi sebarang kerusi Dun, manakala Pas meraih sepuluh. Di Kedah, Pas secara solo mengutip 15 kerusi, prestasi paling tinggi sepanjang sejarahnya di Jelapang Padi itu.

Seorang rakan saya membisik, AMANAH boleh sahaja menang, mungkin bertambah besar di Pantai Barat, tetapi jika terus kalah di Kelantan, Terengganu dan kerusi tertentu di Kedah dan Pahang, “maaf, saya tidak terasa kemanisannya”. Dia seperti tidak berpuas hati dengan perkembangan AMANAH di empat negeri tersebut.

“AMANAH hanya akan lebih dihormati dan dipandang tinggi jika dapat menawarkan altenatif terbaik kepada penyokong Pas terutama di kampung-kampunf, termasuk di kawasan pondok,” ujar rakan saya itu lagi.

“Memang payah menembusi minda dan hati masyarakat Islam yang konservatif, apatah lagi majoriti para asatizah yang popular masih bersama pegangan Pas, tapi AMANAH perlu lebih proaktif dan sistematik, bukan saja melebarkan pengaruh politik tetapi membawa perubahan besar selari dengan konsep Rahmatan lil ‘Alamin dan maqasid syariah,” kata seorang sahabat saya yang lain, seorang pensyarah muda di sebuah IPTA.

Alhamdulillah, Mohamad Sabu, dalam pidato presiden di Temerloh, pagi Sabtu, 22 September itu memaklumkan AMANAH selepas PRU14 menerima keahlian baru yang mendadak. Menariknya, Kelantan mencatat jumlah paling ramai. Malah Rusila, kampung Presiden Pas sendiri sudah menerima tempias meluasnya pengaruh parti yang ditubuhkan pada 16 Srptember 2015.

Dalam majlis sama, Naib Presiden, Mahfuz Omar turut mengisytiharkan beberapa personaliti popular, antaranya Ustaz Hassan Mahmood Al-Hafiz dan Ustaz Ghazali Ibrahim, telah menyertai AMANAH. Kedua-duanya boleh dianggap pendakwah selebriti yang mampu menarik, minat lebih ramai audien terhadap parti masa depan itu.

Apabila Naib Presiden AMANAH, Dr Mujahid Yusof Rawa dilantik sebagai menteri agama, ia bukan sahaja kesempatan terbaik buat mempromosi citra Islam yang indah dan ramah, tetapi juga bebanan tanggungjawab berat untuk mengubah tanggapan konservatif yang telah berakar sejak berzaman. Ada yang menganggap ia lanjutan pertarungan Kaum Tua dan Kaum Muda.

Dr Mahathir ada banyak kelemahan dan kesilapan. Bergantung kepada sisi mana beliau dipandang. Tetapi dalam waktu sukar ini, mewarisi Malaysia yang pincang dan kronik, dengan segala perjanjian yang merugikan, peringatan khususnya kepada anggota pentadbiran yang baru, termasuk daripada AMANAH, belajarlah semaksimum mungkin bergurukan Dr Mahathir.

Selain pandangan jauhnya, kerajinan, berdisiplin tinggi, dan ketepatan waktu, dedikasi mempelajari ilmu dan kemahiran baru, kebijaksanaan mengolah pandangan berbeda, juga ketegasan berdepan siapa sahaja, termasuk pihak istana dan kuasa besar.

Tiada ulasan: