"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS bukan lawan Anwar, kata Amanah

PORT DICKSON: Amanah menyifatkan PAS yang akan meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson tidak akan mampu menyaingi ketokohan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presidennya yang juga Ahli Parlimen Tampin, Dr Hasan Baharom berkata beliau melihat ketua umum PKR itu tidak berdepan masalah untuk mengekalkan status quo parti di kerusi berkenaan.

“PAS bukan saingan Anwar dalam PRK Port Dickson dan mereka hanya sekadar bertanding dan kita tahu mengapa mereka nak masuk bertanding iaitu tidak mahu memberikan kemenangan mudah buat Anwar.

“Itu hak dialah (PAS) nak bertanding. Calon kita (Pakatan Harapan) semua orang tahu kerana beliau juga bakal perdana Menteri yang ke-8. Kita percaya semua orang mahu Datuk Seri Anwar menang dan mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat selepas menang nanti,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian PAS semalam yang ingin meletakkan calonnya pada PRK itu selepas merasmikan Bilik Operasi Pemuda Amanah di Taman Belida.

Turut hadir, Naib Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Mustafar Ab Kadir dan Ketua Pemuda Amanah Pusat Mohd Sany Hamzan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam dilapor sebagai berkata parti itu akan meletakkan calon bagi PRK Parlimen Port Dickson dan pengumuman calon akan dibuat malam ini.

Sementara itu Hasan berkata Amanah akan bekerja keras memastikan kemenangan ketua umum PKR itu di kerusi berkenaan.

PRK Parlimen Port Dickson setakat ini menarik minat beberapa pihak lain selain Anwar iaitu 2 parti politik, PAS dan Parti Rakyat Malaysia, selain calon bebas Stevie Chan Keng Leong untuk mengambil bahagian.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRU14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V S Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Tiada ulasan: