"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa Syed Ali umum keluar Umno?

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

CHERAS - Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee mengumumkan keluar daripada Umno sebentar tadi.

Bekas Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan itu berkata, keputusan itu dibuat atas sebab tertentu iaitu demi menjaga kelangsungan dan survival orang Melayu di Wilayah Persekutuan.

"Secara rasminya saya nak beritahu bahawasanya saya ambil keputusan yang berat untuk saya umumkan di sini, saya keluar daripada Umno.

"Hari ini (semalam) saya umumkan kepada ahli dengan rasa sedih dan berat hati keputusan ini....saya tak akan maki Umno, saya buat ini untuk kepentingan orang Melayu di Wilayah Persekutuan," katanya di Dewan Pusat Rekreasi, Cheras, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, beliau mengambil masa selama tiga bulan bagi membuat keputusan berat itu.

"Keputusan yang saya buat ini mengambil masa, saya solat istikharah dan saya jumpa beberapa orang alim yang tiada kepentingan dalam politik, untuk berbincang dan saya fikirkan bagaimana dan nak bantu warga wilayah dalam pelbagai aspek dan isu untuk diketengahkan.

"Maka saya memikirkan dan mengambil keputusan yang berat bagi diri saya, seperti yang anda tahu saya menjadi ahli Umno sejak berumur 17 tahun, saya juga menjadi Ketua Bahagian Umno Cheras selama 22 tahun, dan saya nak beritahu bahawa saya seorang perjuang parti, cuma saya kena ambil pendekatan untuk menolong orang Melayu di Wilayah Persekutuan ini sebabnya," katanya dalam sesi pertemuan bersama ahli Umno Cheras di sini.

Jelasnya keputusan itu dibuat juga bukan tujuan untuk meraih kepentingan politik peribadi namun di sebabkan untuk membantu masyarakat di wilayah.

"Saya tahu apa sahaja keputusan yang akan saya buat, mulut manusia tidak dapat ditutup untuk berkata-kata, belum umum pun dah banyak saya lihat yang mengata...yang penting bagi saya niat saya, dan saya nak maklumkan saya keluar Umno bukan nak kejar jawatan, tapi saya ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan," katanya.

Sementara itu, Syed Ali menegaskan bahawa keputusan yang diambil beliau itu tidak dipengaruhi oleh sesiapa dan beliau sendiri juga tidak akan mempengaruhi mana-mana ahli Umno untuk turut bersamanya keluar daripada Umno.

"Saya berjanji tidak akan mengkhianati perjuangan orang Melayu dan Islam di Wilayah Persekutuan.

"Keputusan ini, bersifat peribadi saya sendiri yang buat, saya percaya apa yang saya buat bersebab dan saya akan tanggung risikonya, saya tidak akan pengaruhi sesiapa," katanya.

Susulan itu katanya, beliau akan menghantar surat rasmi untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada parti.

"Saya akan tulis secara rasmi dan akan maklumkan penghijrahan saya, dan saya tidak akan rosakkan Umno, " katanya.

Dalam pada itu, Syed Ali masih berahsia mengenai parti mana yang bakal beliau pilih setelah keluar daripada Umno.

"Itu kena tunggu dahulu, saya akan umumkan kemudian.

"Dan saya akan teruskan perjuangan dengan sebuah parti yang saya rasa saya dapat sumbangan untuk orang Melayu," katanya.

Dalam pada itu, Syed Ali menegaskan susulan tindakannya ini, beliau sama sekali tidak akan 'melarikan diri'.

"Saya masih berada di Kuala Lumpur, pejabat saya pun masih terbuka," katanya.

Sementara itu besar harapannya agar , masyarakat menghormati tindakan beliau berkenaan.

"Saya akan hadapi segala tohmahan, kerana keputusan ini bukan peribadi tapi demi masa depan orang Melayu kita.

"Memang berat...saya rasa saya perlu buat keputusan ini, saya tidak akan menghasut untuk orang lain sertai saya juga," katanya.

Tindakan Syed Ali ini menyusuli enam ahli Parlimen Umno yang turut keluar parti selepas PRU14 lalu.

Selain itu, minggu lepas ahli Parlimen Jeli Datuk Mustapa Mohamed dan bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman turut meninggalkan Umno.

Tiada ulasan: