"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Delegasi Pas hilang?

MALAYSIADATELINE

Ustaz Ahmad Awang ketika ditemui Malaysia Dateline di Wisma Amanah baru-baru ini

Delegasi Pas yang diundang ke Muktamar Tahunan Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) kali ke-5 di Istanbul pada 3 hingga 9 November baru-baru ini didakwa ‘hilang’.

Sekumpulan pimpinan Pas yang diketuai Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak kelihatan di persidangan itu sama ada di sidang pleno atau bengkel sepanjang muktamar berlangsung.

Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Ahmad Awang yang diundang ke muktamar kali ini walaupun agak lewat sampai ke Istanbul bagaimanapun mengikuti sepenuhnya persidangan itu sehingga hari terakhir, 9 November.

Namun beliau hanya terserempak dengan kumpulan itu sewaktu makan tengah hari kerana dewan makan waktu itu
hanya dibuka khas kepada peserta muktamar sahaja.

“Jadi tidak ada orang asing melainkan orang yang bermuktamar sahaja. Saya terserempak dengan satu kumpulan
yang Ustaz Hadi ada sekali terus saya berjabat salam.

“Mereka ada meja khas salah seorang daripada mereka datang lebih awal untuk ‘booking’ meja, jadi terus kumpulan itu memenuhi meja,” katanya kepada Malaysia Dateline dalam satu temubual ekslusif berkenaan perjalanan Muktamar Tahunan KUIS awal November lalu.

Ahmad Awang ketika menghadiri Persidangan Kuis di Turki yang berlangsung pada 3 hingga 9 November 2018

Bahkan Ahmad yang mengikuti hampir kesemua bengkel yang diadakan juga tidak dapat bertemu dengan Abdul Hadi.

“Kebetulan saya tidak mendaftarkan diri dalam bengkel-bengkel yang disediakan dan saya boleh masuk setiap bengkel yang ada. Jadi kalau ada orang Malaysia memang saya jumpalah tetapi bukan kumpulan Ustaz Hadi.

“Jadi maknanya sebahagian besar mereka tidak ada di dalam bengkel-bengkel itu,” katanya.

Ahmad turut dimaklumkan delegasi Pas hanya hadir pada hari pertama muktamar kemudian difahamkan mereka menghadiri Persidangan Muslim Sedunia yang diadakan di sekitar Istanbul juga.

Beliau melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama-sama bagi membincangkan isu umat Islam khasnya ketika berlangsungnya Muktamar KUIS baru-baru ini.

“Kesal saya. Ingat disitulah tempat nak jumpa tetapi kelihatan tidak ada peluang. Tidak seronoklah, sebab delegasi Malaysia paling ramai tiba-tiba yang ada lebih kurang 10 orang sahaja tidak termasuk kumpulan Ustaz Hadi,” katanya.

Lagipun katanya, sebelum pemilihan dan pelantikan pimpinan baru berlaku Abdul Hadi masih lagi Naib Ketua
Kuis dan beliau sepatutnya terlibat secara langsung di muktamar itu.

Harakahdaily turut melaporkan jadual padat Presiden Pas sepanjang berada di Turkey antaranya, memenuhi
jemputan Presiden Parti Saadet, Temel Karamollaoglu ke Majlis Ramah Mesra bersama pemimpin gerakan Islam,
dan diberikan peluang untuk menyampaikan ucaptama dalam majlis tersebut.

Abdul Hadi juga menghadiri Persidangan Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen Islam (IFIP) di Istanbul. Beliau turut berkongsi sejarah penglibatan PAS dalam sistem demokrasi pilihan raya, ijtihad-ijtihad politik PAS dan situasi semasa di Malaysia.

Beliau juga dilaporkan mengadakan kunjungan hormat bertemu Ahmet Davutoglu, Mantan Perdana Menteri
Turki di pejabat beliau selama dua jam selain itu, berkesempatan bertemu Ibrahim Kalin, Jurucakap Presiden
Turki bagi mengucapkan terima kasih kerana melawat beliau ketika menerima rawatan di Istanbul beberapa tahun
lalu.

Beliau juga turut bertemu sahabat lama daripada Parti Saadet, Harun Macit, dan mengucapkan terima kasih di
atas layanan istimewa yang diberikan setiap kali berkunjung ke Turki.

Muktamar Agung ke-5 Kuis yang berlangsung dari 3 hingga 9 November di Istanbul, Turki baru-baru ini turut
mengadakan pemilihan.

Namun pada pemilihan kali ini, Abdul Hadi tidak mempertahankan jawatannya sebagai Naib Ketua Kuis.

Lebih 1,500 ulama dan ilmuan dari 80 negara menyertai perhimpunan itu, yang merupakan penyertaan terbesar
sejak penubuhan Kuis.

Ulama Maghribi, Syeikh Ahmad al-Raysuni, dipilih sebagai Ketua Kuis bagi tempoh 2018-2022, menggantikan Dr
Yusuf Al-Qaradhawi.

Al-Raysuni, yang juga calon tunggal bagi jawatan tersebut, menerima sokongan 93.4 peratus daripada jumlah
keseluruhan anggota kesatuan itu.

Turut dipilih empat timbalan kepada jawatan Al-Raysuni, iaitu Sheikh Khairuddin Kahraman (Turki), Ahmad bin
Hamad Al-Khalili (Oman), Sheikh Issam El-Bashir (Sudan) dan Habib Salem Saqaf Al-Jufri (Indonesia).

Kuis, yang diasaskan Al-Qaradhawi, adalah sebuah badan bukan kerajaan Islam yang menghimpunkan para ulama
dari seluruh dunia, termasuk negara minoriti Islam.

Tujuan penubuhan Kuis ialah bagi memelihara identiti Islam yang sebenar serta menguruskan isu berkaitan
agama tanpa sebarang pengaruh kerajaan dan institusi swasta.

Tiada ulasan: