"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ICERD: Perlukah lagi bantahan 8 Disember, soal Dr Agus

MALAYSIADATELINE
ICERD: Perlukah lagi bantahan 8 Disember, soal Dr Agus
Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff mempersoalkan hasrat Umno dan Pas untuk mengadakan bantahan berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)pada 8 Disember depan.

“Pemimpin Amanah, Bersatu, dan PKR telah pun menyatakan ketidaksetujuan mereka untuk ICERD dilaksanakan. DAP sendiri telah menyatakan mereka menyerahkan soal ICERD ini kepada keputusan PM. Dari Port Moresby, PM telah menyatakan mustahil ICERD dilaksanakan kerana pelaksanaan ICERD melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, setelah perhimpunan di Pasir Salak, perlukah lagi pembangkang mengadakan perhimpunan membantah ICERD pada 8 Disember ini? ,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Umno-Pas tidak perlu mencetuskan keharmonian kaum dalam keadaan pemimpin kerajaan telah bersuara untuk tidak meratifikasikannya.

“Jangan ditegangkan lagi suhu politik negara dengan ucapan seperti sanggup bermandi darah dan lainnya yang membahayakan negara. Jangan dijadikan isu ICERD ini sebagai modal politik untuk membangkitkan politik perkauman.

“Jika hendak diadakan juga perhimpunan pada 8 Disember ini, tukarlah perhimpunan tersebut kepada perhimpunan mengangkat isu rakyat.

“Pekebun kecil menangis sekarang dengan harga kelapa sawit dan getah yang murah, peniaga terhimpit dengan kuasa beli rakyat yang rendah, anak muda resah dengan janji peluang 1 juta pekerjaan yang tidak ada, janji PTPTN yang tidak terlaksana, dan rakyat seluruhnya cukup gelisah dengan kos hidup yang tidak turun,” ujarnya.

Soal beliau lagi, tidakkah mengadakan perhimpunan memperjuangkan nasib hidup rakyat itu lebih baik daripada membangkitkan sentimen ICERD yang bukan pun isunya lagi?

Jawatankuasa Kerja Pas Pusat telah menetapkan 8 Disember ini untuk menganjurkan satu himpunan besar-besaran bagi membantah ICERD di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: