"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis Evo 2: Pemimpin PAS kena minta maaf

Hazmi Hassan
Antara punca yang mendorong gerakan menggesa Polis Evo 2 diboikot adalah disebabkan lakonan Hasnul Rahmat yang memegang watak Hafsyam atau Saif - lelaki antagonis berserban dan menggunakan Islam sebagai tunggangan.

Rasa kurang senang itu menyebabkan ada pemimpin PAS mengajak anggota parti itu memboikot filem berkenaan dan melabelnya sebagai sampah.

Ia berlaku kerana watak Saif yang dipercayai dilihat sama dengan presiden mereka.

Antara yang terawal menyebar dan mengajak rakyat untuk memboikot filem ini ialah Riduan Mohd Nor atas alasan filem itu memalitkan kejahatan dan keganasan itu berpunca daripada Islam.

Ridhuan juga memberi contoh filem Sicario 2 yang juga dianggapnya sampah lalu disamakan dengan Polis Evo 2.

Amat pelik apabila Ridhuan menyatakan Sicario 2 begitu dan daripada gaya penulisannya dia seperti sudah pun menonton filem berkenaan.

Namun untuk Polis Evo 2, Riduan melabelnya sampah hanya dengan membaca sinopsis.

Bukan seperti difitnah

Tindakan dia jelas berbeza dengan tuntutan sebenar Islam iaitu menyuruh umatnya "bertabayyun dan membaca" sebelum menghukum.

Membaca bukan bermaksud hanya sekadar melihat tulisan tanpa memahami, bahkan ia termasuk mengkaji dan membuat pertimbangan dengan akal, bukan emosi.

Membuat tuduhan sehingga mengajak orang kepada kebencian bukanlah konsep Islam sebenar. Ridhuan sepatutnya memohon maaf dan membuat pembetulan kerana Polis Evo 2 bukan seperti yang difitnahnya.

Malah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri berpendapat filem itu tidak perlu diboikot kerana tiada unsur atau adegan yang menghina Islam.

Hasnul Rahmat membawa watak penunggang agama yang dalam filem itu jelas ditolak. Maka mesejnya jelas - filem ini mengajak penonton menolak islam versi Saif yang melampau dan radikal.

Islam sebenar sentiasa mengajar dan menyuruh umatnya untuk bersederhana. Hasnul Rahmat juga mengajak penonton untuk berfikir dan bermuhasabah betapa ramainya individu atau kumpulan penunggang agama di sekeliling kita.

Saif dalam Polis Evo 2 menyatakan dia mempunyai amanat dan harus diikuti oleh penyokongnya. Memakai serban dan pandai menggunakan istilah Islamik atau mentafsir ayat al-Quran belum tentu seseorang berada pada sisi yang benar.

Hari ini ramai orang memakai serban dan bercakap seolah-olah pejuang Islam tetapi sebenarnya merekalah yang merosakkan Islam.

Kata-kata mengkhayalkan

Islam yang dibawa Saif itulah yang harus kita tolak. Pelampau, radikal dan menjual agama dengan harga yang murah hanya untuk kepentingan diri sendiri.

Namun malangnya masih ramai yang menyokong serta taasub kepada individu atau kumpulan dek terpedaya dengan kata-kata keramat mereka.

Lakonan Hasnul Rahmat kali ini memang menjadi dan sangat menyengat.

Hasnul Rahmat berjaya membawa watak Saif yang mempunyai kehebatan mendoktrin menggunakan Islam sebagai modal perjuangan sesatnya.

Melalui Saif dia menunjukkan bagaimana kata-kata seseorang mampu mengkhayalkan. Sebagai contoh, Sani hampir gila diperlakukan Saif hanya dengan kemolekan kata-kata.

Antara babak menarik dalam Polis EVo 2 ialah ketika dalam kekalutan dan hampir kalah, Saif sempat lagi cuba menghubungi SAC Datuk Azizat (lakonan Erra Fazira), mungkin cuba untuk berunding.

Itu salah satu sikap penunggang agama yang sentiasa mahu menang walaupun sudah kalah.

Watak Saif berjaya menjadikan Inspektor Khai dan Inspektor Sani polis yang hebat kerana berjaya tumpaskan Saif dan kumpulan Al-Minas.

Saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk terus menonton filem ini. Polis Evo 2 berjaya mengangkat dan menghargai jasa Polis Diraja Malaysia yang berbakti kepada negara.

Polis Evo 2 juga mengangkat pejuang Islam yang sebenar dan menunjukkan Islam itu rahmat untuk seluruh alam!

HAZMI HASSAN ialah ketua Pemuda Amanah Kelantan.

Tiada ulasan: