"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jumaat hari tulisan Jawi: MDN seru semua institusi Islam berdiri teguh

AKMAL MANAF
Majlis Dakwah Malaysia (MDN) menyeru semua institusi Islam di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan seluruh organisasi Islam yang mempunyai kepentingan Melayu dan Islam, perlu berdiri teguh di belakang perisytiharan Jumaat sebagai hari penggunaan tulisan jawi.

Pengerusi MDN, Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, tanpa komitmen jitu dilakukan pihak kerajaan terutamanya JAKIM, dan sokongan padu daripada semua pihak, pengisytiharan hari Jumaat sebagai hari penggunaan tulisan jawi itu hanya diibaratkan seperti debu yang ditabur di atas batu licin semata-mata yang akan ditiup angin.

“MDN berpandangan tulisan jawi merupakan kunci bagi sebuah gedung ilmu yang sudah sekian lama tertutup rapat.

“Selain itu, MDN turut menyeru rakyat juga perlu memberi sokongan padu terhadap langkah positif kerajaan ini tanpa mengambil kira pendirian politik disokongi atau pendekatan perjuangan politik parti yang didokongi.

“Ini kerana langkah yang memberi keuntungan kepada semua pihak seperti mengambil inisiatif untuk menyegarkan kembali penggunaan tulisan jawi, di kalangan semua rakyat di negara ini perlu dilaksanakan secara bersepadu.

“Pelaksanaannya kelak bukan sahaja dengan kata-kata kosong tetapi perlu diiringi dengan tindakan bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mahmood berkata, pihaknya telah pun memberi perhatian serius kepada usaha melestrikan semula tulisan jawi ini dengan menubuhkan sebuah Panel Khas yang melibatkan banyak pihak seperti para pemimpin dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negara dan beberapa pertubuhan media tanah air.

“Sokongan kuat juga kami dapati daripada Persatuan Tulisan Jawi dan Persatuan Khat yang mempunyai keanggotaan di seluruh Malaysia.

“Sudah pasti MDN mengharapkan satu mekanisme khusus bagi pelaksanaan tersebut hendaklah dibangunkan agar kita dapat memaksimumkan hasil pencapaian dalam masa paling singkat.

“Berasaskan pengisytiharan tersebut juga kami berharap akan dapat mengadakan berbagai program yang berfaedah dengan kerjasama badan badan kerajaan seperti JAKIM, YADIM, MAWIP, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Perpustakaan Negara dan sebagainya.

“Pengisytiharan hari Jumaat sebagai hari penggunaan tulisan Jawi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, adalah satu langkah positif pihak kerajaan untuk memperkasakan dan menyegarkan semula penggunaan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengisytiharkan hari Jumaat sebagai hari penggunaan tulisan jawi sebagai usaha untuk memperkasakan tulisan itu.

Katanya, tulisan jawi adalah platform untuk mengembalikan sejarah warisan negara kerana Malaysia dan Bahasa Melayu secara khususnya menggunakan tulisan itu sebagai pengantara rasmi sama ada dalam hubungan antara negara mahu pun masyarakat.

Tiada ulasan: