"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Orang Islam mesti jadi pemula sikap anti rasis

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
Dalam kalangan orang Cina dan India, ada orang yang rasis. Sama seperti orang Melayu rasis, mereka adalah ancaman kepada keharmonian hidup dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Saya tidak tahu sejauhmana anti rasis yang ada dalam agama selain Islam, tapi dalam Islam, rasis tidak diterima. Nabi tidak mengiktiraf orang yang rasis sebagai orang yang berada di atas landasan ajaran baginda.

Konsep persaudaraan kemanusiaan yang diajar oleh Islam kepada penganutnya melangkaui agama apatah lagi bangsa. Kesatuan asal-usul menjadikan manusia setaraf pada ukuran kemanusiaan.

Orang bukan Islam yang setia dengan pemerintah Islam, kemudian dia dizalimi oleh orang Islam dalam apa bentuk sekalipun mendapat jaminan pembelaan daripada Nabi di akhirat.

Demikian kemuliaan manusia pada neraca Islam. Neraca ini tidak berubah kerana manusia secara fitrah dilahirkan untuk bersaudara bukan untuk bersengketa. Perbezaan antara mereka untuk bertaaruf (saling berkenalan) bukan bertaharub (saling berperang).

Justeru, untuk menampilkan keindahan Islam, orang Islam mesti menjadi pemula kepada pemikiran dan sikap anti rasis. Bukan sekadar pemula, orang Islam mesti konsisten dengan pendirian itu untuk menjamin konsistensi persepsi baik orang bukan Islam kepada Islam.

Sebahagian orang Islam berhujah, kata mereka, kita saja yang tunjuk baik, orang selain kita tidak begitu pun…! Takkanlah kita nak buat baik sampai orang bukan Islam pijak kepala kita?

Benar, kita tak boleh biar orang pijak kepala kita. Bukan saja pijak kepala, pijak jari kaki pun tak boleh dibiar jika memudaratkan kita dan agama kita. Islam mengajar kita memiliki jatidiri keislaman yang wajib dipertahankan.

Sementara kita bangun membela diri, mempertahankan hak, tidak membiar kepala kita dipijak, kita jangan lupakan panji-panji akhlak yang wajib dijulang. Kita jangan runtuhkan jambatan dakwah yang telah, sedang dan akan dibina.

Demikian petunjuk Nabi ketika diminta kebenaran oleh malaikat penjaga gunung untuk mengangkat bukit dan menghempasnya ke atas penduduk Taif yang melukakan tubuh dan menyakitkan hati baginda.

Lupakah kita kepada ungkapan, mudah-mudahan anak cucu mereka akan beriman dengan dakwah ini. Dan, itulah yang berlaku. Bukan saja anak cucu penduduk Taif yang beriman, tapi sejarah keindahan akhlak Nabi yang terakam dengan tinta emas itu menjadikan begitu ramai anak cucu manusia di seluruh dunia beriman.

Kita tidak boleh membiarkan orang bukan Muslim berbuat sesuka hati terhadap kita, dan kita juga tidak boleh berbuat sesuka hati terhadap mereka. Kezaliman tidak boleh dibalas dengan kezaliman, rasis tak boleh dijawab dengan rasis, dan keburukan tak elok dibalas dengan keburukan.

Nanti ada orang berkata, sampai bila kita perlu berpendirian begitu? Sahabat Nabi yang disakiti pernah bertanya Nabi, bilakah datangnya pertolongan Allah? Jawapan Nabi, pertolongan Allah itu dekat.

Ya, dekat saja bagi orang yang sabar tapi jauh bagi orang gopoh, berputus asa dan tidak faham. Orang yang tidak faham sunnah alam dan peraturan Allah dalam memberi hidayah kepada manusia akan terasa usahanya sudah tepu, padahal dia hanya baru memulakan satu daripada jutaan langkah dakwah yang mesti ditempuhnya.

Bersengketa kerana berbeza bangsa atau agama semata-mata bukanlah ajaran agama suci ini. Titik mula Islam bukannya sengketa tetapi aman. Titik tengah Islam juga aman, bahkan titik hujungnya juga aman.

Kalau begitu, dimana titik sengketa peperangan yang menjanjikan syurga untuk orang mati syahid dan pahala yang besar untuk orang yang membunuh orang kafir? Titiknya ialah di luar daripada garisan keamanan.

Titik itu berada pada garisan lain yang bukan garisan biasa tetapi garisan yang terpaksa dibuat setelah semua langkah untuk kekal di atas garisan keamanan menemui kegagalan. Titik dan garisan itu bukan asal, tetapi muncul secara terpaksa.

Begitu pun, jika titik dan garisan itu boleh dipadam, maka padamlah dan kembalilah ke titik dan garisan keamanan. Perlu disebut, Nabi tidak berperang 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 30 hari sebulan.

Rasis boleh mencetuskan sengketa dan perbalahan besar. Orang Islam mesti mengelaknya. Bukan saja rasis secara langsung, tapi semua perkara yang boleh membibitkan rasis wajib dielak.

Kita lahir untuk berbaik-baik bukan untuk bersengketa. Semasa kita lahir ke dunia, tangisan kita bukan untuk bersengketa. Tapi tangisan itu untuk memberitahu bahawa kita sudah lahir dan bersedia untuk bersama-sama semua orang memakmurkan dunia ini secara bersama-sama.

*Penulis merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH

Tiada ulasan: