"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan terkejut kalau kena gari – IGP

Malaysiakini
Ketua Polis Negara (IGP) Abdul Hamid Bador memberi amaran kepada individu yang gagal mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) kemungkinan akan bermalam di penjara.

“Saya dah beritahu, saya dah mula menangkap. Dah 107 orang ditangkap.

“Bagi mereka yang masih ingat mereka kebal dari penyakit, ataupun sengaja nak tunjuk dia gangster, melepak-lepak di tepi padang, jangan terkejut apabila digari tangan dan dibawa ke lokap.

“Dah dibuat pun, kebanyakan menghalang penjawat awam. Jangan terkejut, jangan marah, untuk duduk di lokap tiga, empat malam,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian sebagai tetamu di rancangan RTM Selamat Pagi Malaysia pagi tadi.

Jelasnya, sehingga kini, pihak polis telah menangkap seramai 107 rakyat yang gagal mengikut perintah sepanjang tempoh berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, Abdul Hamid memaklumkan bahawa peratus rakyat yang patuh kini pada 92 peratus malah kadar jenayah juga telah menurun sebanyak 70 peratus.

95% Tabligh sudah tampil

Menerusi usaha pihak berkuasa untuk mengesan jemaah tabligh yang terlibat dalam perhimpunan di Masjid Sri Petaling bulan lalu, Abdul Hamid berkata pasukan petugas polis dan dibantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti jumlah bilangan peserta seramai 10,000.

“Statistik mereka yang benar-benar hadir pada Ijtimak agak kabur, sebab ada pihak kata 14,000 ada pihak kata 16,000.

“Tetapi hasil kerjasama pasukan petugas polis dan KKM, kita dapat kenal pasti dengan penuh identiti mereka sampai ke tahap 10,000.

“Kita temu bual mereka untuk cuba ingat siapa teman-teman yang masih belum tampil ke hadapan untuk periksa sama ada sudah disaring atau belum ,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang awam supaya tidak merendahkan jemaah tabligh kerana ramai telah beri kerjasama penuh.

“Lebih 95 peratus sudah tampil, hanya lima peratus belum,” katanya.

Bagaimanapun, segelintir pihak tabligh –yang berada dalam kuarantin- gagal untuk melakukan penjarakan sosial.

“Ada beberapa kes di mana jemaah tabligh sudah ada di pusat kuarantin, masih lagi mengamalkan sembahyang jemaah.

“[…] (polis) sudah pujuk mereka, walaupun berada dalam kuarantin, mereka mesti lakukan penjarakan sosial .

Jangan sebar identiti suspek Covid-19

Susulan kadar peratus jenayah yang dilihat turun, Abdul Hamid menggesa rakyat supaya tidak melakukan jenayah siber dengan mendedahkan identiti pesakit Covid-19.

“Ini salah, ia akan menakutkan orang ramai.

“Jika pesakit sudah sihat dan dikeluarkan dari hospital, jiran akan hindari pesakit.

“Jika rakyat tahu siapa yang saspek membawa wabak Covid-19, mereka boleh terus lapor dan pihak polis akan datang bawa individu terbabit lakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Melihat kepada beberapa jenayah siber berhubung Covid-19, Abdul Hamid berkata pihak berkuasa telah membuka 370 kes berikutan perkara terbabit.

Tiada ulasan: