"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ini lagi seekor tunjuk samseng tak bertempat

Penganggur tampar pengawal keselamatan dipenjara kerana langgar kawalan
Bernama


Lelaki yang menampar pengawal keselamatan Tesco dipenjara 3 bulan. (Gambar Bernama)
MELAKA: Seorang penggangur dijatuhi hukuman penjara 3 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan melanggar perintah kawalan pergerakan semalam.

Menurut pertuduhan, tertuduh Mohamad Saiful Bahari Mohamad, 32, melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1)(b) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 7(1) peraturan yang sama.

Saiful Bahari dari Tanah Merah, Kelantan didakwa melakukan kesalahan itu di pasar raya Tesco Jalan Panglima pada pukul 7.05 petang, semalam dan boleh dijatuhi hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara hingga 6 bulan, atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.

Menurut fakta kes, seorang pengawal keselamatan pasar raya itu Dayang Azura Sufri, 33, ketika menjalankan tugas di tempat, tarikh dan masa disebutkan didatangi tertuduh yang memberitahu hendak masuk ke pasar raya itu untuk membeli air.

Dayang Azura menerangkan waktu operasi pasar raya itu adalah dari pukul 7 pagi hingga 7 malam sahaja, namun Saiful Bahari enggan mematuhi arahan dan bertindak agresif dengan menampar pipi kiri pengawal keselamatan itu sebelum mengejarnya dengan memasuki kawasan pasar raya itu.

Di mahkamah sama, Saiful Bahari dijatuhi hukuman penjara 6 bulan kerana menyebabkan kecederaan terhadap Dayang Azura dengan cara menampar pipi kiri sehingga lebam.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda maksima RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat tentang kepentingan mematuhi perintah kawalan pergerakan dalam membendung pandemik Covid-19.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh ketika menjatuhkan hukuman itu berkata pada masa negara menghadapi situasi ini, kepentingan umum adalah amat penting berbanding kepentingan peribadi.

Beliau berkata masyarakat harus serius mematuhi arahan dari semasa ke semasa oleh kerajaan ketika perintah kawalan pergerakan bagi mengekang Covid-19 daripada terus merebak di negara ini.

Izwan memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak bermula tarikh tangkapan semalam. Tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan: