FMT Reporters
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan denda RM17,000 ke atas personaliti televisyen, Azwan Ali kerana menghina doktor di hospital kerajaan menerusi satu video.
Beliau mengaku bersalah di bawah Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia di depan Hakim Azura Alwi.
Azwan memuat naik satu video di YouTube dengan niat menghina individu lain pada 24 Mac lalu. Susulan itu, satu laporan dibuat pada hari sama di Balai Polis Putrajaya.
Jika gagal membayar denda RM17,000, Azwan akan dipenjarakan selama 6 bulan.
Hakim turut mengarahkan beliau memohon maaf di mahkamah secara terbuka.
Sementara itu, Mahkamah Majistret Kajang menjatuhkan hukuman penjara 4 bulan ke atas seorang lelaki kerana mengingkari arahan polis untuk berhenti di satu sekatan jalan di Jalan Hulu Langat pada 24 Mac lalu.
Ahmad Fauzan Jais mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis dan Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis, Fauzan dijatuhkan penjara 3 bulan, manakala satu bulan penjara untuk kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
Hakim memerintahkan hukuman dilaksanakan berturut-turut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan