"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa fungsi ‘Jamal tuala mandi’ dalam taklimat Covid-19 dengan Menteri Kesihatan?

ARIF ATAN

Kelibat Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dilihat muncul dalam pertemuan rombongan diketuai Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah semalam.

Imej dipercayai Jamal yang pernah membuat protes pada 2016 dengan hanya bertuala di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor itu muncul dalam foto yang dimuatnaik Abu Bakar di Facebook.

Abu Bakar yang juga pemimpin Umno Melaka itu memberitahu beliau telah memberi taklimat kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berhubung cadangan penghasilan produk inovasi “Solution to Covid 19” (penyelesaian menangani Covid-19).

Jamal, 50, dikenali sebagai Pengerusi Gerakan Baju Merah yang kuat menentang perhimpunan Bersih 5 pada 2016.

Pernah membuka sebuah restoran secara percuma di Jalan Pahang, Kuala Lumpur kononnya dibiayai gabungan NGO, Jamal turut mencipta kontroversi termasuk menghilangkan diri dari sebuah hospital swasta di Ampang pada 2018 selepas diberi ikat jamin oleh polis kerana disiasat bagi kesalahan mempamerkan senjata api.

Dalam masa sama, foto tersebut mengundang teguran sebahagian warga maya apabila menasihatkan Abu Bakar yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi agar mematuhi jarak sosial satu meter bagi mengekang penularan wabak Covid-19 pada masa ini.

Kemunculan individu menyerupai Jamal (dua dari kanan) dalam perbincangan penting menangani wabak Covid-19 mengundang persoalan.

Tiada ulasan: