"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sipengkhianat ini didakwa hasut rakan tinggalkan Amanah

Didakwa hasut rakan tinggalkan Amanah, Hasnul nafi
N Faizal Ghazali


Selepas mengejutkan partinya kerana memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Minaim, kini didakwa sedang giat mempengaruhi beberapa orang yang dekat dengannya supaya meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Menurut sumber, Hasnul turut mengajak rakan-rakan daripada pemuda Amanah Perak agar mengikut jejak langkahnya.

"Sehubungan itu dalam Amanah Perak mengeluarkan arahan supaya sebarang hubungan dengan Hasnul perlu diputuskan.

"Perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Amanah negeri malam tadi," kata sumber yang enggan disiarkan namanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu pada 9 Mac lalu, Hasnul bersama dua lagi Adun PH Perak mengisytiharkan mereka memberi sokongan kepada PN yang membentuk kerajaan negeri selepas PH Perak kehilangan majoriti dalam dewan undangan negeri.

Hasnul sebelum itu menyandang jawatan ketua Pemuda Amanah Nasional.

Turut menyertai langkah Hasnul itu ialah Paul Yong (Adun Tronon) dan A Sivasubramaniam (Buntong). Yong kini sedang berdepan dengan perbicaraan mahkamah atas tuduhan merogol seorang wanita Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah.

Kawan rapat pun tak ajak

Pada awal Mac lalu Hasnul juga menarik perhatian ramai apabila dilaporkan menangis teresak-esak semasa menurunkan gambarnya dari pejabat exco ketika krisis kepemimpinan kerajaan Perak masih menjadi tanda tanya.

Menurut sumber itu lagi, antara sasaran Hasnul ialah beberapa pemimpin Pemuda Amanah yang dekat serta bersimpati kepadanya.

"Justeru Amanah mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau keadaan," katanya.

Sementara itu sumber lain mendakwa, langkah Hasnul meninggalkan Amanah baru-baru ini tidak diikuti mana-mana kepemimpinan pemuda parti itu.

Sementara itu Hasnul ketika dihubungi hari ini menafikan dakwaan tersebut.

Malah bekas pengurus pasukan bola sepak Perak itu menegaskan beliau belum memikirkan hala tuju politiknya buat masa sekarang kerana lebih selesa bergerak sebagai wakil rakyat bebas.

"Buat masa ini saya tak fikir hala tuju lagi, saya lebih selesa sebagai Adun bebas," katanya.

Mengenai dakwaan beliau mengajak pemimpin tertentu meninggalkan Amanah, Hasnul berkata: "Tidak, kawan-kawan yang rapat dengan saya pun saya tak ajak."

Katanya keputusan yang dibuatnya diambil selepas kerajaan PH tumbang.

"Saya pilih untuk memberi sokongan dan bantu menteri besar (Ahmad Faizal Azumu) menggalas tanggungjawab kepada rakyat," katanya.

Mengulas mengenai gerak kerjanya kini, Hasnul berkata dalam tempoh perintah kawalan pergerakan susulan penularan wabak Covid-19 beliau bersama beberapa sukarelawan mengagih-agihkan sumbangan berupa ikan kembung kepada penduduk Titi Serong.

Katanya, selepas lima hari sebanyak dua tan ikan telah diagih kepada lebih 1,600 keluarga.

"Bantuan ini bagi meringankan beban penduduk sepanjang tempoh ini kerana ramai yang terjejas khususnya mereka yang bekerja sebagai pesawah, nelayan dan pekerja kilang.

"Setakat ini sasaran saya untuk fasa pertama (bantuan ikan) sudah selesai hari ini, kita akan sambung fasa kedua nanti," katanya yang juga bekas exco belia dan sukan Perak.

Tiada ulasan: