"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lebih 400 ditahan ingkar arahan PKP

Malaysiakini
Polis telah menahan lebih daripada 400 orang dalam dua hari kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan membendung penyebaran Covid-19.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob yang juga menteri kanan yang menyelaras perkara-perkara keselamatan dalam kerajaan, berkata ini termasuk 116 orang yang cuba mengadakan solat Jumaat.

"Semalam, polis menahan 320 orang dan sehari sebelumnya, terdapat 162 tangkapan.

"Lebih 400 tangkapan dalam tempoh dua hari, mereka telah menyumbang kepada peningkatan kadar pematuhan," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kadar pematuhan meningkat kepada 97 peratus.

Ismail juga menggesa orang ramai untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama, Zulkifli Mohamad agar aktiviti di masjid ditangguhkan, termasuk solat Jumaat.

"Semalam, di daerah tertentu, masih ada solat Jumaat walaupun ada arahan agar ia ditangguhkan dan digantikan dengan solat Zohor di rumah.

"116 orang ditahan oleh polis dan terdapat lima masjid lain yang masih mengadakan sembahyang (berjemaah)," katanya.

Tambah Ismail, mereka yang tinggal di komuniti berpagar juga masih ingkar PKP dan menekankan kawasan tersebut tidak dikecualikan daripada perintah tersebut.

"PKP rangkumi semua pihak walaupun dalam komuniti berpagar. Semalam, terdapat kes di mana ada masyarakat kita dalam komuniti berpagar yang ingkar arahan ini dengan ada joging dan aktiviti lain.

"Tindakan telah diambil terhadap mereka dan saya harap (ia) tidak akan berlaku lagi," kata beliau.

Katanya, polis telah membuat lebih 1,000 sekatan jalan raya dan memeriksa hampir 25,000 kenderaan.

ISmail berkata bahawa kebanyakan mereka tidak mematuhi syarat-syarat PKP.

Menurut peraturan Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Terkawal Tempatan) 2020, tiada seorang pun boleh membuat perjalanan dari satu tempat ke tempat lain kecuali untuk:

a) Untuk melaksanakan apa-apa tugas rasmi

b) Untuk bergerak ke atau mana-mana premis yang disebut dalam peraturan 5

c) Untuk membeli, membekalkan atau menghantar makanan atau keperluan harian

d) Untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan

e) Apa-apa maksud khas lain sebagaimana yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah

PKP berkuat kuasa pada 18 Mac dan berakhir pada 31 Mac tetapi telah dilanjutkan hingga 14 April.

Di bawah PKP, perniagaan dan perkhidmatan yang tidak penting ditutup dan orang tidak digalakkan meninggalkan rumah tanpa alasan munsabah.

Tiada ulasan: