"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usah salah guna alasan agama, nanti imej Islam tercalar

Malaysiakini
Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak menggunakan agama sebagai alasan untuk tidak takut kepada virus Covid-19.

Hal itu kerana, katanya, kenyataan sedemikian rupa secara tidak langsung memberikan imej negatif kepada Islam.

Justeru, menurut Anwar, adalah lebih baik sekiranya orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa supaya mereka berada di dalam rumah saja.

“Negara China dapat mengawal (penularan wabak Covid-19) kerana hampir menutup seluruh pergerakan beberapa wilayah yang melibatkan beberapa juta manusia.

“Kita tidak sampai ke situ, tetapi harus patuh kerana apa yang diajar dalam Islam, apa yang diajar dalam solat, itu disiplin asas.

“Kita akur, jangan kita gunakan alasan-alasan agama yang cetek, yang mengatakan memadai doa sebagai seorang Muslim dan tidak perlu - umpamanya - takut kepada virus.

“Kita tak persoal takut kepada Allah, Allah minta kita ikhtiar dan antara ikhtiar ialah menyelamatkan diri, keluarga dan jangan bebankan orang lain,” katanya dalam tazkirah sempena Israk Mikraj melalui siaran langsung di Facebook beliau malam ini.

Beliau turut menceritakan sejarah mengenai taun yang pernah berlaku pada zaman silam dan Islam melarang berkunjung di kawasan yang dilanda wabak itu bagi membendung penularannya.

Dua kematian diumum hari ini

“Tapi tanpa maqasid syariah dan pengalaman, masing-masing (warganet) keluarkan fatwa mereka (sehingga) jadi porak-peranda masyarakat.

“Dan sekarang ni terpalit (menjejaskan) dengan banyak orang dan imej agama itu juga mungkin menjadi negatif.

“Padahal dakwah, tabligh, itu istilah-istilah yang positif tapi menjadi negatif kerana tindakan segolongan kecil,” katanya.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan siasatan awal, daripada 123 kes baru yang dilaporkan hari ini, sebanyak 74 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh yang berlangsung di Masjid Jamek Seri Petaling, di Kulala Lumpur pada hujung bulan lalu.

Beliau juga berkata kementerian terbabit mengesan 11,000 daripada 14,500 peserta tempatan perhimpunan tabligh itu dan hampir 6,700 daripadanya sudah mengambil ujian saringan.

Pada masa sama, Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson turut menceritakan terdapat tazkirah yang pernah dihadirinya sebelum ini menyatakan supaya tidak perlu takut kepada koronavirus, sebaliknya hanya perlu membaca potongan ayat al-Quran dan sapu ke muka.

Anwar bagaimanapun berkata memang doa menjadi antara senjata umat Islam dan menggalakkan supaya orang ramai menggunakan ruang yang ada bersama keluarga di rumah ketika ini untuk memohon doa supaya terhindar daripada wabak tersebut tanpa mengabaikan langkah pencegahan.

KKM hari ini mengumumkan dua kematian terbaru akibat Covid-19, membawa jumlah kematian di Malaysia kepada 10 orang.

Sebanyak 123 kes disahkan positif direkodkan setakat 12 tengah hari tadi yang menjadikan jumlah keseluruhan 1,306 kes di negara ini.

Tiada ulasan: