"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan digesa ganti pekerja asing dengan warga tempatan

Minderjeet Kaur
PETALING JAYA:
Persatuan majikan menyeru tindakan segera untuk menggantikan pekerja asing dengan penduduk tempatan, mengatakan ia perlu disebabkan kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia akibat perintah kawalan pergerakan (MCO) dan ekonomi yang lembap.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan memberitahu FMT, beliau bersetuju dengan laporan yang memetik sumber perusahaan kecil dan sederhana bahawa kira-kira 1 juta rakyat Malaysia akan hilang pekerjaan kerana MCO selama 2 minggu itu.

Beliau berkata syarikat-syarikat yang menggunakan 10 pekerja atau kurang mudah terjejas dan mungkin muflis.

Terdapat kira-kira 650,000 syarikat bersaiz mikro yang membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada syarikat yang lebih besar.

“Mereka mungkin tidak mempunyai simpanan untuk mengekalkan operasi mereka,” kata Shamsuddin.

Beliau menggesa syarikat-syarikat yang lebih besar menawarkan pekerjaan kepada rakyat tempatan yang kini diisi warga asing.

Beliau mengakui sukar untuk memecat majoriti pekerja asing serta-merta tetapi beliau menggesa kerajaan menyediakan garis masa untuk dilaksanakannya secepat mungkin.

Beliau berkata ribuan penduduk tempatan boleh bekerja sebagai pengawal keselamatan jika keadaan kerja bertambah baik dan skop kerja dijenamakan semula.

“Berikan mereka latihan supaya mereka dapat bekerja dalam pasukan tindak balas kecemasan. Beri mereka elaun tambahan.”

Beliau memetik laporan yang mengatakan terdapat lebih 2 juta pekerja asing dan berjuta-juta lagi bekerja secara haram di Malaysia.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk memperkenalkan automasi dan meningkatkan piawaian kerja bagi menarik pekerja Malaysia.

Beliau menggesa kerajaan melihat setiap langkah yang mungkin untuk membantu syarikat-syarikat kekal dalam perniagaan dan pekerja kekal dengan pekerjaan mereka.

Beliau juga berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur harus bertindak membenteras “banyak perniagaan haram di Kota Raya dan Bukit Bintang” yang dikendalikan warga asing dan dengan itu ia membuka peluang kepada rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata kumpulannya menganggarkan sekurang-kurangnya 30% pekerja hotel akan kehilangan pekerjaan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, industri hotel menggunakan kira-kira 220,000 pekerja.

Yap memberitahu FMT wabak Covid-19 menyebabkan perniagaan hotel mengalami kerugian lebih 50% walaupun sebelum MCO berkuat kuasa pada 18 Mac.

“Disebabkan MCO, kebanyakan hotel menjangkakan kerugian RM500 juta,” katanya, sambil menambah majoriti mereka tidak dapat menampung kerugian sedemikian lebih daripada 3 bulan.

Beliau berkata ahli persatuannya berharap pekerja akan menerima tawaran cuti tanpa gaji sementara.

Beliau juga berkata beberapa bulan akan datang akan menjadi sangat mencabar, di mana hotel-hotel perlu memutuskan sama ada mereka harus terus kekal dalam perniagaan itu.

Tiada ulasan: