Malaysiakini
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin meminta orang ramai menunggu 'berita penting" yang akan diumumkan malam ini selepas mengadakan pertemuan dengan semua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat dalam menangani wabak Covid-19.
"Oleh itu, kita akan umumkan malam ini, ia akan disiar secara langsung.
"Kita akan jelaskan kepada rakyat Malaysia bagaimana kita akan uruskan ini.
"Saya akan umumkan hari ini berita yang agak besar, anda hanya perlu bersabar dengan saya sehingga petang ini," kata Muhyiddin dalam satu sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata kerajaan melihat masalah itu secara serius terutama apabila berdepan dengan gelombang kedua ancaman wabak tersebut.
Kementerian Kesihatan juga meminta orang ramai untuk menunggu pengumuman perdana menteri malam ini.
Terdahulu, Muhyiddin juga mengumumkan skim yang diperluaskan di bawah pakej rangsangan ekonomi yang pertama kali dibentangkan pada 27 Feb oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.
Sebahagian daripada skim yang diperluaskan itu termasuk bantuan bulanan sebanyak RM600 kepada setiap pekerja yang terpaksa mengambil cuti tidak berbayar berikutan wabak Covid-19.
Muhyiddin juga membincangkan mengenai kebimbangan terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang baru, Rina Harun dan Timbalan Menteri Siti Zailah Mohd Yusoff yang dilihat tidak berpengalaman dan mempunyai pendapat yang kontroversi.
Beliau meminta orang ramai memberi peluang kepada kedua-dua mereka menyesuaikan diri dengan portfolio mereka.
"Saya beritahu beliau (Rina) untuk bekerjasama rapat dengan timbalan menteri beliau (Siti Zailah) yang mempunyai pandangan tertentu mengenai perkara tertentu.
"Apa yang penting bukanlah pandangan peribadi beliau. Apa yang penting ialah apa yang difikirkan oleh kerajaan.
"Pendirian itu dia atau sesiapa sahaja dalam kementerian perlu faham, sabar, kita akan kendalikannya," kata perdana menteri.
Bekas timbalan menteri wanita, Hannah Yeoh sebelum ini menimbulkan kebimbangan terhadap Siti Zailah berhubung pendiriannya terhadap perkahwinan di bawah umur, khususnya dalam perbahasan parlimen pada bulan Julai 2017.
Barang makanan mencukupi
Muhyiddin juga memberi jaminan kepada rakyat Malaysia agar tidak melakukan "pembelian panik" kerana barangan keperluan harian adalah mencukupi.
"Jangan risau. Ada makanan yang cukup.
"Kita telah arahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk memastikan bekalan makanan penting perlu ada. Jadi tidak perlu (untuk panik), kita percaya akan ada jumlah (makanan) yang cukup, "katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan