"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Boleh didenda RM10,000 jika langgar perintah kawalan pergerakan, kata peguam

V Anbalagan
PETALING JAYA:
Individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa semalam bagi membendung penyebaran Covid-19, boleh didenda sehingga RM10,000 jika pendakwa raya memfailkan kes di Mahkamah Majistret, kata peguam.

A Srimurugan berkata, Akta Mahkamah Rendah membenarkan majistret kelas pertama menjatuhkan denda itu kerana Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 tidak menyatakan jumlah denda.

Seksyen 24 menyatakan sesiapa yang didapati bersalah untuk kali pertama di bawah akta ini yang tidak menyatakan denda khusus boleh dipenjarakan sehingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya.

Beliau berkata, pesalah juga boleh didenda melebihi RM10,000 jika pendakwa raya memutuskan untuk melakukan pendakwaan di Mahkamah Sesyen.

“Seksyen 65 Akta Mahkamah Rendah menyatakan hakim Mahkamah Sesyen boleh mengenakan sebarang hukuman kecuali hukuman mati,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun katanya, Seksyen 283 (1)(a) Kanun Prosedur Jenayah menyatakan di mana jumlah denda tidak dinyatakan, penalti itu perlu adil dan munasabah.

Perintah kawalan pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu menyatakan tiada individu dibenarkan menjelajah dari sebuah tempat ke tempat lain, kecuali untuk urusan rasmi, menyediakan perkhidmatan asas, membeli, membekal atau menghantar makanan atau barang keperluan, mendapatkan rawatan atau bagi tujuan lain yang dibenarkan ketua pengarah kesihatan.

Peguam, GK Ganesan berkata, ketua pengarah atau mana-mana pegawai awam yang mempunyai kuasa boleh mendenda pesalah sehingga RM1,000 bagi sebarang kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Ini pada dasarnya ialah budi bicara pihak berkuasa dalam kes berkaitan.”

Semalam, Muhyiddin menerusi perutusan khas merayu rakyat tidak balik kampung sepanjang 2 minggu perintah kawalan pergerakan kerana pergerakan beramai-ramai akan menggagalkan matlamat perintah itu.

Katanya, kerajaan tiada pilihan kecuali melanjutkan perintah kawalan pergerakan jika gagal membendung penularan Covid-19.

Tiada ulasan: