"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jika Umno benar-benar mahu PRU tarik sokongan pada Muhyiddin segera jika tidak Umno pun turut berantakan

SEBELUM MUHYIDDIN PECAHKAN UMNO SEPERTI PKR DIPECAHKAN MAHATHIR, LEBIH BAIK SOKONGAN DITARIK SEGERA
Shahbudin Husin

Hanya beberapa hari selepas pembentukan kabinet, UMNO yang merupakan blok terbesar dalam Perikatan Nasional atau PN sudah mula menunjukkan perasaan tidak puas hatinya.

Azalina Othman Said, Shahrir Samad, Bung Mokhtar Radin, Khaled Nordin Tajuddin Abdul Rahman adalah antara pemimpin UMNO yang terawal bersuara secara terbuka meluahkan perasaan tidak puas hati mereka.

Dipercayai lebih ramai lagi pemimpin UMNO akan tampil selepas ini meluahkan perasaan yang sama berikutan Muhyiddin Yassin dilihat tidak berlaku adil kepada UMNO dan seolah-olah ada agenda sulit yang tersendiri.

Di media sosial dan di warung kopi, pemimpin UMNO peringkat bahagian serta mereka yang aktif dalam parti Melayu itu turut meluahkan perasaan kecewa dan marah terhadap Muhyiddin.

Antara isu yang menjadi asas ketidakpuasan hati mereka ialah jumlah menteri yang sedikit diberikan kepada UMNO, pengagihan kementerian kanan yang tidak adil, dua menteri kanan diberikan kepada Bersatu berbanding hanya satu kepada UMNO dan pemberian keistimewaan kepada Azmin Ali untuk mempengerusikan mesyuarat kabinet ketika ketiadaan Perdana Menteri.

Dengan keistimewaan itu, walaupun jawatan TPM ditiadakan, Muhyiddin dengan jelas dan tanpa berselindung lebih mengiktiraf Azmin sebagai timbalannya berbanding pemimpin UMNO.

Sudahlah semua Ahli Parlimen kumpulan Azmin daripada bekas PKR diberikan jawatan menteri dan timbalan menteri, memberikannya keistimewaan seolah-olah sebagai TPM dengan sendirinya menunjukkan Muhyiddin telah menganak-tirikan kedudukan UMNO dalam PN.

Tidak kurang menyebabkan perasaan tidak puas hati ialah tindakan Muhyiddin melantik beberapa pemimpin yang tidak disenaraikan oleh UMNO sebagai menteri, antaranya Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin.

Difahamkan Zahid Hamidi sendiri tidak senang dengan perlantikan kedua-dua mereka itu, bukan saja kerana beliau tidak pernah mengemukakan nama mereka kepada Muhyiddin, bahkan juga kerana Khairy Jamaluddin pernah berlawan dengannnya bagi kerusi Presiden UMNO pada pemilihan 2018 dahulu.

Dengan beliau kini dilantik sebagai menteri oleh Muhyiddin bersama-sama dengan Hishammuddin, wujud kerisauan jika kedua-duanya bakal berganding bahu dalam pemilihan UMNO tahun 2021 akan datang.

Dalam keadaan Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sedang berdepan kes mahkamah dan tanpa kedudukan serta Mohamad Hassan sebagai Timbalan Presiden tidak diberikan apa-apa jawatan, gandingan Hishammuddin dan Khairy Jamaluddin dilihat mempunyai kelebihan untuk mengambil alih teraju kepimpinan UMNO pada tahun depan.

Keadaan ini menjadikan, melalui susunan kabinet yang dicaturkan oleh Muhyiddin, walaupun UMNO kembali berkuasa, tetapi seolah-olah ianya suatu pengakhiran kepada masa depan Zahid Hamidi dan Mohamad Hassan.

Turut menimbulkan rasa tidak senang UMNO berkaitan susunan kabinet ialah berhubung permintaan mereka agar bekas Ahli-Ahli Parlimen parti itu yang melompat menyertai Bersatu selepas PRU14 lalu tidak diberikan jawatan dalam kabinet nampaknya langsung tidak dilayan oleh Muhyiddin.

Kepada UMNO, mereka itu adalah pengkhianat parti dan tidak harus diberikan kedudukan yang sama dalam kerajaan bersama pemimpin-pemimpin yang setia serta tidak pernah berlaku khianat.

Ternampak bahawa dalam penyusunan kabinet ini, selain Muhyiddin banyak membuat percaturan sendiri dan cuba menidakkan kedudukan UMNO yang lebih banyak kerusi, beliau seperti meniru langkah Tun Mahathir ketika melantik pemimpin-pemimpin PKR sebagai menterinya dalam era kerajaan PH sebelum ini.

Oleh kerana PKR mempunyai kerusi Parlimen paling banyak, beberapa nama yang dicadangkan oleh parti itu telah diketepikan oleh Tun Mahathir, sebaliknya beliau melantik nama-nama lain seperti Azmin Ali dan Saifuddin Abdullah daripda PKR sebagai anggota kabinetnya.

Tindakan Tun Mahathir itu akhirnya berhasil menjadikan PKR berantakan dan berpecah, lalu PH sendiri tidak pernah aman dan tumbang sudahnya.

Dalam hal ini, meskipun belum dapat dipastikan apa niat sebenar Muhyiddin, tetapi tindakannya mengabaikan banyak permintaan UMNO serta mengenepikan nama-nama yang dicadangkan parti itu, ia jelas memperlihatkan kecenderungannya untuk melihat UMNO berpecah dan menjadikan dirinya daripada Bersatu yang mempunyai jumlah kerusi yang sedikit terus dominan dalam kerajaan.

Begitu pun, di sebalik sekian ramai pemimpin UMNO meluahkan perasaan tidak puas hati dengan Muhyiddin dan susunan kabinet, tidak ternampak pula ada antaranya punya keberanian untuk bertindak lebih jauh daripada itu, walaupun beberapa pemimpinnya mengatakan pembubaran Parlimen adalah pilihan yang terbaik buat mereka.

Barangkali, UMNO juga sayang untuk melepaskan kuasa yang sudah ada dalam tangan, walaupun dianak-tirikan.

Apa yang mereka lakukan hanyalah bercakap, bercakap dan bercakap mengenai perasaan tidak puas hati itu sambil berharap melalui kocakan yang ditimbulkan, Muhyiddin akan sedia membubarkan Parlimen untuk diadakan pilihanraya secata mengejut.

Tetapi, percayalah, selagi boleh bertahan, Muhyiddin akan terus bertahan dan tidak akan membubarkan Parlimen.

Ini berikutan Bersatu di mana beliau menjadi Presidennya juga sedang berpecah dan hubungannya dengan Tun Mahathir masih lagi tidak menentu.

Dalam keaadaan sedemikian, mustahil Muhyiddin mahu mengadakan pilihanraya.

Satu-satunya cara, jika UMNO benar-benar mahu pilihanraya mengejut diadakan ialah dengan mereka segera menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Melalui penarikan sokongan daripada UMNO yang mempunyai 39 kerusi itu, PN akan tumbang dengan sendirinya dan untuk mengelakkan beliau disingkirkan dengan cara yang memalukan, pilihan yang ada bagi Muhyiddin untuk menyelamatkan maruahnya ialah memohon kepada Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dengan segera.

Pendek kata, pembubaran Parlimen itu benar-benar dalam diadakan keadaan yang terpaksa demi menjaga air mukanya.

Maka, jika benar UMNO mahu pilihanraya, usahlah bertangguh lagi dan cepat-cepatlah tinggalkan Muhyiddin. (ShahbudinHusin 13/03/2020)

Tiada ulasan: