"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri Pertahanan tidak mempunyai kuasa untuk mengatur mana-mana unit angkatan bersenjata - Patriot

AKMAL MANAF
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) percaya polis sebagai pihak berkuasa yang kini memantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mempunyai sumber mencukupi untuk mengawal dan menguruskan perintah tersebut dengan berkesan.

Presiden Patriot, Briged Jeneral Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, pengumuman Datuk Seri Ismail Sabri yang akan mengerahkan anggota tentera pada Ahad ini bagi membantu pihak polis, adalah keputusan yang terburu-buru.

“Lebih daripada 130,000 kakitangan, terutamanya dari Pasukan Gerakan Am (PGA) yang kini berada di bahagian yang berlainan di negara ini, boleh digunakan untuk tugasan berkenaan (PKP).

“Menteri Pertahanan mesti mempunyai kepercayaan penuh dan keyakinan terhadap kemampuan pasukan polis yang berpengalaman menangani isu-isu keselamatan dalam negara.

“Kami tidak mahu imej negara kelihatan seperti zon perang (jika menggunakan tentera dan ia akan memberi gambaran buruk di mata dunia. Menggunakan khidmat tentera untuk tugasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) haruslah menjadi pilihan terakhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Arshad berkata, Menteri Pertahanan tidak mempunyai kuasa untuk mengatur mana-mana unit angkatan bersenjata.

“Ismail Sabri juga mesti memahami bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengatur mana-mana unit angkatan bersenjata, atau membuat apa-apa rujukan terhadap perbuatan tersebut.

“Kuasa tersebut hanya terletak dengan Ketua Perkhidmatan masing-masing melalui konsensus yang dibincangkan dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Panglima-Panglima yang dipengerusikan oleh Panglima Angkatan Tentera.

“Walaupun sekarang kita berada dalam situasi pandemik kecemasan, keputusan yang dibuat mestilah difikirkan dengan baik dan tidak sembarangan, termasuk keputusan yang dibuat semasa mesyuarat kecemasan,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: