"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr M hanya akan jumpa jika Muhyiddin tak 'lindungi penjahat'

Malaysiakini
Beberapa minggu selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan beliau akan meneliti prestasi kerajaan baru itu sebelum membuat keputusan bertemu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Dalam satu wawancara dengan majalah berita Indonesia, Tempo, Mahathir merujuk kepada perbicaraan rasuah terhadap beberapa pemimpin Umno dan menegaskan beliau akan melihat sama ada kerajaan akan melindungi "penjahat-penjahat" berkenaan atau sebaliknya.

"Saya akan lihat dulu prestasi pemerintah, terutama soal apa yang dilakukan kepada penjahat-penjahat itu, apakah beliau akan melindunginya atau tidak.

"Kalau misalnya, ada campur tangan pemerintah dalam urusan pengadilan (kehakiman), saya tidak akan menemuinya," kata Mahathir dalam wawancara yang diadakan di pejabatnya di Putrajaya minggu lepas.

Berhadapan dengan 47 tuduhan rasuah, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menolak khabar angin bahawa kes itu akan digugurkan, dan sebaliknya berikrar untuk membersihkan namanya di mahkamah.

Seorang pemimpin kanan Bersatu sebelum ini mendedahkan bahawa Muhyiddin telah meminta bertemu Mahathir selepas isu jawatan perdana menteri menjadikan parti itu kini terbahagi kepada dua kem.

Mahathir menolak untuk bersama sekumpulan pemimpin Bersatu yang bersama-sama Muhyiddin, yang bersetuju untuk bekerjasama dengan Umno dan sekutu barunya dalam gabungan PN.

Dalam reaksi awalnya, Mahathir sebelum ini berkata beliau hanya akan bertemu Muhyiddin jika presiden Bersatu itu "membuang pemimpin Umno yang dituduh rasuah terlebih dahulu".

Disoal mengenai kenyataannya yang mendakwa dikhianati Muhyiddin, Mahathir mengakui beliau akan terus menyokong dasar-dasar yang diperkenalkan dalam tempoh 22 bulan beliau menjadi perdana menteri ketujuh.

"Kalau kebijakan (dasar) tersebut diterima dan dikerjakan pemerintah Muhyiddin, itu lebih penting daripada nasib saya," jelas Dr Mahathir yang mengatakan penggantinya sebelum ini - Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak - menukar dasar-dasar yang diperkenalkannya sehingga negara mengalami kemerosotan.

"Kali ini saya berharap mereka tidak mengganti kebijakan, meneruskan rancangan yang kami susun untuk memulihkan negara, ekonomi dan hal-hal lain.

"Apalagi hari ini kita menghadapi kemerosotan ekonomi dunia dan Covid-19," katanya.

Sejak PN mengambil alih kerajaan persekutuan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali mengulangi komitmen kerajaan untuk meneruskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang kali pertama diumumkan ketika beliau menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah pentadbiran PH.

Bagaimanapun, terdapat gesaan dari dalam PN agar kerajaan baru mempertimbangkan semula pembaharuan lain yang dicadangkan PH termasuk penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Tiada ulasan: