"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH gesa kerajaan beri penjelasan jaminan bekalan makanan mencukupi

SITI NUR ZAWANI MISCON
Kerajaan perlu segera menjelaskan mekanisme yang akan digunakan dalam memastikan jaminan bekalan makanan dalam negara adalah mencukupi, kata Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH), hari ini.

Mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KODNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, jaminan semata-mata bahawa bekalan makanan dalam negara tidak akan terputus tanpa penerangan yang jelas, sama sekali tidak mencukupi.

Katanya, ini kerana negara mencatat nilai import makanan dari negara luar sehingga RM51 bilion pada tahun lalu.

“Jaminan semata-mata tidak cukup, tanpa kita diberikan penerangan jelas tentang mekanisme memastikan bekalan makanan mencukupi.

“Ini kerana, negara kita bergantung pada import makanan. Nilai import untuk tahun lalu sebanyak RM51 bilion, termasuk import ikan, daging, sayur-sayuran, bawang dan keperluan rakyat.

“Ketika ancaman virus berlaku di seluruh dunia membabitkan negara pengimport, sudah tentu kerajaan perlu terang lebih jelas bagaimana jaminan makanan mencukupi dan mekanisma perlaksanaan yang akan berlaku,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Majlis Sekretariat PH, hari ini.

Topeng muka

Pada masa sama, kata Saifuddin, gesaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada KPDNHEP untuk memastikan bekalan mencukupi adalah sedikit tersasar.

Ini kerana ujarnya, dalam fungsi kerajaan, tanggungjawab memastikan bekalan mencukupi berada di bawah bidang pertanian, manakala fungsi KPDNHEP adalah lebih kepada tanggungjawab downstream iaitu perlesenan, kawalan dan penguatkuasaan.

Namun, kata Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu itu, penjelasan mengenai bekalan makanan harus disertakan dengan langkah penguatkuasaan yang lebih cekap oleh KPDNHEP termasuk jaminan import berterusan.

“Adalah menjadi satu keperluan segera di pihak kerajaan untuk mengadakan Frequent Asking Questions (FAQ) kerana banyak perkara yang ingin diketahui oleh rakyat yang memerlukan jawapan segera,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Ketua Setiausaha PH itu turut menggesa agar kerajaan segera melakukan pembelian dengan syarikat pengeluaran topeng muka untuk didahulukan kepada kakitangan baris depan yang berhadapan ancaman wabak berkenaan.

Beliau berkata, sehingga hari terakhir perkhidmatannya dalam kementerian, sejumlah RM5 juta telah pun diluluskan untuk tujuan membeli topeng muka.

“Permintaan bekalan topeng ketika ini melebihi pengeluaran. Kita sudah kenalpasti syarikat yang bersetuju memberi bekalan.

“Jadi, saya mengesyorkan supaya pembelian dan pengedaran dapat dilakukan segera,” tambah Saifuddin lagi.

Tiada ulasan: