"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wajah baharu Pas setelah jadi kerajaan

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Apakah tujuan sebenar Pas cuba mengadakan sidang media kemasukan ahli AMANAH yang kononnya akan menyertai Pas yang gagal diadakan di Selangor baru baru ini? Ada juga sebaran palsu kononnya 6 ahli parlimen AMANAH akan keluar parti. Adakah ini untuk mengalih pandangan masalah ketara Pas dan juga Perikatan Nasional (PN)?

Sebenarnya Pas mempunyai masalah besar di peringkat Antarabangsa, peringkat nasional dan juga negeri yang amat ketara yang cuba disembunyikan dari penyokongnya.

Di peringkat antarabangsa, Pas hilang arah hala tuju perjuangan untuk umat Islam yang tertindas. Hamas dan PLO yang telah begitu lama bersengketa buat pertama kali mengadakan himpunan bersama membantah tindakan Negara Emirah Arab Bersatu (UAE) mengadakan hubungan rasmi dengan Israel. Ini membayangkan betapa makin tertekan dan terdesak rakyat Palestin setelah sebelum ini Mesir dan Jordan juga melakukan pengkhianatan yang sama.

Malaysia juga telah banyak terbuka dengan Negara haram Israel dengan membenarkan pegawai Kerajaan Israel turut hadir Konvensyen di Malaysia dan membeli alat perisik dari Israel.

Walaupun telah diasak oleh pimpinan pembangkang untuk membuat pendirian, Kerajaan Malaysia dan juga Duta Khas ke Timur Tengah – Dato Seri Abdul Hadi Awang masih menutup mulut sehingga hari ini.

Dalam isu antarabangsa, sebelum menjadi kerajaan, Pas begitu lantang mengutuk Israel dalam berbagai-bagai isu, jelas ini adalah perubahan wajah ketara di peringkat antarabangsa oleh Pas.

Di dalam negara pula, Pas begitu dingin terhadap isu seperti RUU 355, Hukum Hudud dan isu LGBT yang dahulunya bagai ibarat hendak runtuh langit di laungkan isu ini oleh mereka. Kalau dahulu siapa yang berbeza pandangan dengan Pas dalam isu tersebut, dituduh terjejas akidah, hari ini ahli Parlimen Pas membisu terus dan menyatakan isu-isu ini bukan menjadi prioriti. Ini adalah perubahan sikap Pas di peringkat nasional.

Di peringkat negeri yang diperintah Pas seperti Terengganu pula, perubahan mendadak sikap terhadap masyarakat tempatan, termasuk ahli serta penyokong Pas sendiri, begitu ketara.

Rakyat begitu susah untuk berjumpa dengan wakil rakyat dan ahli Exco kerajaan negeri, ramai yang mengadu sering dilayan dengan kurang baik, Menteri Besar juga ada yang rakyat menunggu lebih 6 bulan untuk bertemu tetapi MB boleh pula melayan Pengerusi Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, hampir seharian belayar bersiar di pulau perairan Terengganu dalam bot mewah besar Syarikat Berjaya.

Kalau dahulu Pas mengutuk sistem pentadbiran Umno dalam pembahagian kontrak dan tempat perniagaan, ahli Pas sendiri mengadu cara budaya kroni banyak berlaku hari ini.

Minggu lepas berita skandal pemberian kontrak pasir melibatkan seorang pegawai rapat dengan Menteri Besar dan juga seorang ahli DUN, telah menjadi perbincangan hangat media sosial. Pihak SPRM di katakan telah memulakan siasatan atas tuduhan tersebut dengan ‘print screen’ menunjukam permintaan wang rasuah RM500,000 tersebar luas di media sosial.

Sidang DUN Terengganu baru-baru ini didedahkan terdapat beberapa orang, termasuk bukan anak Terengganu, dilantik menjaga berbelas syarikat GLC Negeri dengan gaji lebih RM500,000 setahun semasa ramai anak tempatan negeri di biar menganggur tampa pembelaan.

Yang paling mengecewakan ahli dan penyokong Pas Terengganu adalah apabila teguran dan nasihat membina diberi, ianya tidak diendahkan malahan ada kalanya tidak boleh diterima oleh pimpinan Pas.

Ada juga penyokong termasuk pendakwah bebas terkenal Pas yang popular dalam kalangan anak muda dipinggirkan setelah membuat teguran membina yang tidak boleh di terima oleh Pas. Mereka yang sebelum ini berjuang habis habisan untuk Pas sebelum menjadi kerajaan kini dikritik dan disisih kerana menegur perubahan sikap dan pendirian Pas.

Perubahan sikap ini jauh dari sikap murni Rasullullah Saw serta para sahabat yang meminta ditegur atas kelemahan mereka.

Inilah sikap Pas setelah memerintah 3 negeri dan juga menjadi kerajaan Persekutuan Malaysia.

Setiausaha Agung Pas kini menjadi Menteri undang undang menjaga urusan Parlimen. Kalau dahulu RUU 355 dan hukum hudud tidak dapat dilaksanakan kerana alasan tidak menguasai kerajaan pusat, setelah menguasai kedua-duanya kerajaan negeri dan kerajaan Malaysia, RUU 355 dan hudud tidak di sebut pun.

Kalau dahulu Pas mendakwa kononnya akan menasihati Umno, hari ini Pas telah di Umnokan. Kalau dahulu Pas nafi akan bersama Umno, hari ini Pas menjadi kembar Siam Umno menjiwai dan mengamalkan cara Umno.

Itulah hakikat sebenarnya yang perlu di sedari oleh penyokong Pas hari ini, pimpinan kanan Pas mula memakai baju Melayu bertanjak dan berkeris, pada masa itulah Pas mula di Umnokan.

Apabila keris yang diguna oleh pimpinan Pas lebih panjang dari keris Umno, masa itulah Pas ingin menunjukkan mereka lebih UMmno dari Umno sendiri.

Apabila kami dari AMANAH menyuarakan amaran hubungan sulit Pas dan Umno berlaku pada masa itu, kami di tuduh pembohong serta pengkhianat dan pemimpin Pas menafikan semuanya itu. Nah,lihat kini siapakah pembohong dan pengkhianat sebenarnya pada pejuangan murni Islam asal Pas hari ini yang telah di bina oleh Almarhum Tuan Guru Yusof Rawa, Tuan Guru Fadhil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz?

Kerakusan pimpinan atasan Pas mengejar kuasa dan ghanimah perang politik tidak ada batasan termasuk mengguna khidmat individu tentera siber bertempat di England di luar sempadan serta luar dari bidang kuasa serta kawalan mahkamah dan polis Malaysia.

Pengaruh alam siber tiada sempadan, tetapi hukum Allah tidak membenarkan fitnah apatah lagi mensasarkan hubungan kekeluargaan.

Jika amanat Haji Hadi di Banggol Peradong tahun 1980 an telah memusnahkan dan memporakperandakan hubungan kekeluargaan di Terengganu. Nampaknya cara tersebut masih diamalkan oleh penyokong tentera sibernya, dengan restu pimpinan Pas asalkan mereka boleh berkuasa.

Penyokong Pas hari ini memang hairan perubahan ketara hala tuju perjuangan serta akhlak Pas, tetapi mereka tidak berani bersuara kerana takut dituduh tidak wala’.

Setelah tiga puluh tahun memerintah Kelantan dan selepas RM400 juta pemberian terus kerajaan PH, masalah air masih di tahap lama tanpa penyelesaian. Dua tahun Pas menjadi kerajaan Terengganu begitu ramai bukan anak tempatan Terengganu menguasai puluhan Syarikat GLC Negeri dengan gaji ratusan ribu setahun seorang . Sementara itu anak tempatan Terengganu yang berkelayakan setaraf masih mengemis, menanti dan mengharap ehsan pemimpin Pas yang lebih mementingkan kroni.

Itulah hadiah Pas untuk penyokong serta rakyat Malaysia setelah menguasai kerajaan Malaysia dan beberapa negeri. Inilah hasil gabungan Pas dalam terbentuknya “MELAYU RAYA” bersama rakan mereka dari Umno dan Bersatu.

Sementara pimpinan utama Pas terus menghadiahkan kedudukan dan kontrak kepada kroni serta sanak saudara mereka, penyokong Pas mencari-cari dan menunggu hasil peranan Pas menasihati Umno dan rakan-rakan ke arah Malaysia yang lebih Islamik dengan RUU 355 dan hukum Hudud yang dijanjikan dahulu.

Hakikat, sebenarnya bukan Pas yang memberi nasihat untuk membentuk Umno dan Bersatu supaya lebih Islamik, tetapi Paslah yang telah “terbentuk” dan berubah setelah terpesona oleh kelazatan mabuk kuasa bersama Kerajaan duniawi Melayu Raya oleh Perikatan Nasional!

Ingatlah bahawa Allah telah mengingatkan kita bahawa ramai yang gagal apabila diuji dengan kuasa dan kesenangan.

Tiada ulasan: