"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MN PECAH ATAU PN TERPECAH

Shahbudin Husin
Kerajaan yang memerintah sekarang adalah Perikatan Nasional atau PN, walaupun ia belum lagi didaftarkan sebagai sebuah gabungan yang sah.

Meskipun UMNO dan BN adalah kelompok Ahli Parlimen terbesar dalam PN, tetapi ia sudah mengesahkan tidak akan menyertai PN selepas didaftarkan nanti.

Setujunya UMNO dan BN berada dalam PN adalah semata-mata sehingga habis tempoh Parlimen PRU14, manakala untuk PRU15, UMNO dan BN hanya komited untuk bekerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional atau MN.

MN juga bukan sebuah gabungan yang sah, cuma sebagai hubungan pengikat untuk UMNO dan Pas bekerjasama serta bagi mengelakkan bertembung sesama sendiri.

Melalui MN, UMNO dan Pas akan menggunakan logo masing-masing ketika pilihanraya, tetapi akan saling bertolong bantu antara satu sama lain.

Sementara UMNO tidak mahu menyertai PN, parti itu dan Pas bagaimanapun setuju menjemput Bersatu untuk menyertai MN.

Namun demikian, respon akar umbi UMNO didapati rata-rata menolak kemasukan Bersatu ke dalam MN.

Dalam hal ini, Pas yang berada dalam MN bukan saja setuju Bersatu dibawa masuk ke dalam MN, bahkan mengesahkan akan turut menyertai PN.

PN secara asasnya adalah gabungan yang sudah menjadi kerajaan dan kini ingin dijadikan sebuah gabungan politik tajaan Muhyiddin Yassin.

Dengan Muhyiddin menaja penubuhan PN, sudah tentulah beliau yang akan jadi ketua atau pengerusi gabungan tersebut nanti.

Dalam erti kata lain, ada tiga entiti politik berbeza sekarang iaitu PN, MN dan BN.

Dalam BN, ada UMNO, MCA, MIC dan PBS.

Dalam MN ada UMNO serta Pas dan selepas ini akan turut disertai Bersatu.

Dalam PN, setakat ini hanya ada Bersatu dan satu-satunya parti yang sudah mengesahkan akan menyertainya ialah Pas, manakala UMNO enggan bersamanya, begitu juga lain-lain parti masih belum memberi sebarang komitmen.

Sementara UMNO yang sudah sedia bersama BN hanya komited untuk bersama MN, Pas dan Bersatu ingin berada di dalam lebih daripada satu entiti.

Pas yang sudah bekerjasama dengan UMNO melalui MN ingin pula menyertai PN kerana di situ ada Bersatu yang memberi parti Islam itu banyak jawatan, kedudukan dan nikmat dunia yang mereka tak pernah terbayangkan sebelum ini.

Bersatu pula, meskipun menaja penubuhan PN, dalam waktu yang sama tidak menolak mahu menyertai MN bagi memastikan kedudukan lebih selamat dalam PRU akan datang.

UMNO enggan bersama Bersatu dalam PN adalah kerana tidak mahu berkongsi kerusi, terutama kepada kumpulan pelompat yang diketuai Hamzah Zainuddin dan kumpulan pengkhianat Azmin Ali yang kini mengepung erat Muhyiddin untuk menyelamatkan masa depan politik mereka.

Begitu pun, perkembangan mutakhir ini menampakkan banyak kekeliruan antara UMNO, Pas serta Bersatu dan kedudukan ketiga-tiganya di dalam MN atau PN.

Pas yang sudah berada di dalam MN, kini mahu menyertai PN dan ia sama seperti Bersatu yang menaja penubuhan PN, tetapi setuju juga menyertai MN.

Hanya UMNO yang berbeza iaitu mahu bersama MN, namun enggan menyertai PN.

Lalu, ke mana akhirnya hubungan mereka itu?

Bolehkah ketiga-tiga parti itu bersatu hati, baik di dalam MN atau PN atau salah satu gabungan itu terpaksa dikorbankan?

Antara MN dan PN, mana yang lebih dulu bakal terpecah? (Shahbudindotcom 21/08/2020)

Tiada ulasan: