"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

YAB Tan Sri berkemas lah untuk memudahkan tugas Agong

TENANG, YANG PENTING MUHYIDDIN SEMAKIN MENUJU KEJATUHANNYA

Shahbudin Husin

Segala yang dirancang nampaknya berjalan seperti yang diatur.

Pagi semalam, Anwar Ibrahim mengadap Agong untuk mempersembahkan bukti sahih mengenai jumlah sokongan Ahli-Ahli Parlimen yang dimilikinya untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

Bukti sahih itu bagaimanapun bukanlah dalam bentuk senarai penuh siapa Ahli Parlimen yang sudah setuju untuk menyokongnya.

Anwar hanya memberikan jumlahnya saja, tetapi senarai siapa mereka yang berkenaan ada dalam kawalan ketua-ketua parti yang terbabit.

Ia hanya akan dipersembahkan kepada Agong apabila ketua-ketua parti mula dipanggil mengadap ke Istana Negara bermula hari ini.

Setakat ini, dilaporkan Lim Guan Eng akan mengadap Agong pada hari ini, manakala Zahid Hamidi dijadualkan esok, Khamis jam 5.00 petang.

Lain-lain ketua parti juga akan dipanggil dan dalam waktu yang sama, terdapat juga Ahli Parlimen tertentu yang dijangka akan dipanggil mengadap Agong secara individu kerana ketua parti mereka memilih untuk kekal bersama PN.

Strategi tidak mendedahkan siapa 120 Ahli Parlimen yang menyokong Anwar adalah untuk mengelakkan mereka diganggu, ditekan atau mungkin ditawarkan habuan.

Susulan majlis mengadap Anwar terhadap Agong pagi semalam, pada sebelah petangnya pula, Tengku Razaleigh Hamzah telah dipanggil mengadap.

Tengku Razaleigh adalah Ahli Parlimen Gua Musang dan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO.

Banyak khabar angin mengenai pertemuan Tengku Razaleigh dengan Agong itu, tetapi biarlah ia disentuh dalam tulisan yang lain.

Malam tadi pula, Biro Politik UMNO mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid Hamidi.

Antara ketetapan yang dibuat ialah mempertimbangkan untuk keluar daripada kerajaan PN dan meminta syarat-syarat baru secara bertulis jika mahu UMNO terus kekal menyokong Muhyiddin.

Ini bermakna, UMNO sedang memberi tekanan maha berat kepada Muhyiddin untuk tunduk kepada parti itu.

Zahid pula akan mengadap Agong esok petang dan sudah tentu sebelum syarat baru yang dituntut daripada Muhyiddin itu dipenuhi, beliau terlebih dahulu akan memaklumkan kepada Agong mengenai beberapa Ahli Parlimen tertentu daripada UMNO yang akan menyokong Anwar.

Jika sebelum ini Zahid Hamidi memberitahu ada beberapa Ahli Parlimen UMNO sudah menyokong Anwar dan beliau tidak berhak menghalang mereka, dalam majlis mengadap petang esok, Muhyiddin secara teknikalnya sudah pun sahih hilang majoritinya.

Hakikat ini memperlihatkan pertemuan Anwar dengan Agong semalam bukanlah majlis mengadap kosong, hanya sekadar minum-minum atau suatu kelentong seperti yang digembar-gemburkan oleh penyokong Muhyiddin yang nampaknya mula bimbang hilang jawatan serta kedudukan.

Majlis mengadap semalam nyata penuh erti dan makna ke arah perubahan yang lebih baik untuk negara, khususnya kita tidak lagi akan mempunyai Perdana Menteri yang hanya pandai membaca perutusan khas semata-mata.

Bermula dengan Anwar mengadap, disusuli Tengku Razaleigh, kemudian ketua-ketua parti tertentu, seterusnya pendirian baru UMNO mahu meninggalkan PN, Muhyiddin kini sudah pun berada di ambang kejatuhannya.

Mengadapnya Anwar semalam terbukti betul-betul ada isi.

Dalam hal ini, adalah lebih terpuji jika Muhyiddin menjadi seorang yang berjiwa besar dengan segera meletakan jawatannya.

Meletakkan jawatan kerana sedar sudah hilang sokongan adalah lebih baik daripada disuruh atau dinasihatkan untuk berbuat demikian oleh Agong.

Yang penting, dengan meletakkan jawatan lebih awal, sebaik-baiknya menjelang pertemuan Zahid Hamidi dengan Agong petang esok, Muhyiddin secara tidak langsung telah memudahkan lagi kerja Agong membentuk kerajaan baru dan menyelesaikan masalah politik negara ini. (Shahbudindotcom 14/10/2020)

Tiada ulasan: