"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Rasa hati’ ulama Pas tiada peralihan kerajaan

FAZLI RADZI

Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober ini, seorang ulama Pas berkongsikan ‘rasa hati’.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berpendapat peralihan kerajaan di bawah pimpinan Anwar tidak akan berlaku lusa.

Malah, lebih jauh ke depan, pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu dalam hantarannya di Facebook hari ini, meramalkan politik Anwar bakal ke garis penamat.

“Saat orang Anwar ghairah menunggu tarikh 13 Oktober kerana dikatakan Anwar akan mengadap YDPA bersama senarai nama Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong beliau dan sekaligus akan menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri kesembilan.

“Namun, hati saya tetap berkata tiada apa-apa peralihan kerajaan yang akan berlaku. Bahkan, kali ini politik Anwar akan sampai ke penghujung jalan mati.

“Itulah rasa hati saya,” kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang juga bekas Ketua Ulama Pas Pahang berkenaan lagi.

Sementara itu, bekas Presiden kedua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Profesor Ustaz Dr Razali Nawawi menyeru penyokong Anwar agar melakukan solat hajat, zikir dan munajat menjelang 13 Oktober ini.

Bekas Dekan Kuliyyah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata, amalan tersebut bagi memohon ke hadrat Allah agar memudahkan Anwar mengadap Seri Paduka.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat pada 13 Oktober ini akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti disebutkan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Istana Negara pada 23 September memaklumkan majlis menghadap Seri Paduka oleh Anwar yang dijadualkan berlangsung sehari sebelum itu, ditangguhkan apabila Al-Sultan Abdullah gering dan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Terdahulu, Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan serta akan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tiada ulasan: