"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tindakan PAS bagus atau tidak buat Muhyiddin?

Mohsin Abdullah

Perdana menteri menyarankan Asean mengambil sikap yang lebih tegas terhadap ucapan berunsur kebencian atau “hate speech”, termasuk gangguan berdasarkan jantina, kecenderungan seksual serta promosi keganasan, melalui platform digital.

Saranan yang bagus pada hemat saya. Sebenarnya sikap tegas yang beliau sarankan itu sepatutnya meliputi semua platform bukan sekadar digital. Tetapi oleh kerana Muhyiddin Yassin bercakap pada Mesyuarat Pertama Digital Menteri Menteri Asean tentulah fokus beliau platform digital.

Apa pun saranan Muhyiddin itu sememangnya wajar dan saya ulangi bagus.

Namun beberapa hari sebelum itu, timbalan menteri di jabatan beliau (yakni Jabatan Perdana Menteri) Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan mungkin pinda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender atau singkatnya LGBT.

Kata Marzuki, pindaan itu perlu bagi menangani “salah laku” golongan LGBT. Beliau tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan “salah laku” tetapi mengakui tindakan tegas diambil terhadap golongan itu yang berpakaian bertentangan dengan jantina – namun hukuman sedia ada yang diperuntukkan Akta 355 kurang memberi kesan.

Bermakna kerajaan mahu hukuman lebih berat daripada hukuman sedia ada iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 serta enam kali sebatan untuk seseorang hanya kerana dia berpakaian bertentangan jantinanya.

Saya tidak mahu berbicara siapa betul siapa salah atau wajar atau tidak hasrat kerajaan seperti yang dikatakan Marzuk. Namun hakikatnya akibat apa yang dihujah Marzuki memberi ruang kepada pelbagai pihak “menyerang” perdana menteri dan menuduh beliau “cakap tidak serupa bikin”. 

Ada yang menuduh Muhyiddin “nampak kuman di seberang laut tapi tidak nampak gajah di depan mata”. Lalu “menasihati” beliau memperbetulkan dahulu kepincangan dalaman atau “put your house in order first” sebelum membuat saranan kepada Asean.

Adakah itu tuduhan liar kepada perdana menteri atau sebaliknya tidak mahu saya bincangkan. Yang ingin diketengahkan ialah kenyataan Marzuk memberi ‘peluru’ yang digunakan musuh untuk ‘menembak’ perdana menteri.

Mungkin Marzuk tidak berniat demikian tetapi itulah yang terjadi. Marzuki ialah dari PAS.

Beralih ke Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, yang mengumumkan tiada cuti peristiwa untuk sambutan Thaipusam di Kedah tahun ini. Sanusi mendapati dirinya dikritik hebat pelbagai pihak termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan tentulah penganut Hindu.

Tidak perlu dihuraikan apa yang dilemparkan ke atas Sanusi dan mengapa Sanusi membatalkan cuti itu kerana ramai yang sudah maklum.

Yang ingin diperkatakan ialah tindakan itu menimbulkan kemarahan orang bukan Islam terutama penganut Hindu ke atas kerajaan negeri dan Perikatan Nasional.

Pentadbiran Muhyiddin gemar dikenali sebagai kerajaan Melayu-Islam. Pun begitu ia mahu juga sokongan masyarakat bukan Melayu-Islam, apatah lagi untuk pilihan raya umum akan datang, MIC dan MCA ditugaskan untuk menarik sokongan orang India dan orang Cina. Apa yang dilakukan oleh Sanusi menyukarkan tugas MIC dan juga MCA kerana isu cuti Thaipusam ini dilihat masalah membabitkan masyarakat bukan Melayu-Islam .

Malah kelab penyokong PAS yang dianggotai orang bukan Islam juga berada dalam situasi sulit untuk menjalankan misi mereka.

Lebih besar ialah isu ini boleh atau sudah membuatkan masyarakat bukan Melayu-Islam menjauhi PN – sesuatu yang Muhyiddin tidak mahu terjadi.

Sanusi ialah dari PAS.

Setiausaha politik beliau, Afnan Hamimi Taib, tampil dan bertanya mengapa hanya Kedah jadi sasaran sedangkan negeri lain tidak – padahal negeri-negeri itu juga tidak ada cuti Thaipusam.

Lalu beliau menamakan negeri berkenaan – Pahang, Perlis, Melaka, Sabah dan Sarawak. Adakah beliau mahu keempat empat negeri tu turut ‘diserang’?. Bukankah negeri negeri itu diperintah PN dan sekutu? Tidakkah ini merumitkan keadaan buat Muhyiddin?

Afnan juga menamakan dua lagi negeri yang tidak ada cuti Thaipusam – Kelantan dan Terengganu. Adakah beliau menganjurkan kedua=dua negeri yang diperintah PAS turut ‘diserang’? Seperti bosnya, Afnan tentulah orang PAS.

Mengenepikan ‘anjuran’ Afnan, apa yang berlaku di Kedah dan kenyataan Marzuki bagaimanapun dilihat boleh ‘mengukuhkan’ kedudukan PAS dan PN di mata orang, atau lebih tepat pengundi Melayu.

Sememangnya PAS mahu membawa usul RUU 355 ke Parlimen. Tentu kita masih ingat RUU 355 bertujuan “memperkasakan mahkamah syariah”. Ketika PAS menjadi pembangkang pada era pemerintahan BN sudah ada. Sama ada ia berujuan poltik atau apa pun tidak perlu dibangkit. Tetapi sehingga sekarang tidak ada perkembangan walaupun PAS sudah duduk dalam kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Seperti dikatakan tadi langkah ini boleh menambat hati masyarakat Melayu-Islam.

Bagaimanapun baru-baru ini Abdul Hadi Awang dipetik The Malaysian Insight sebagai berkata kegagalan PAS “mendapatkan majoriti mudah termasuk daripada sesetengah Ahli Parlimen Umno menyebabkan pembentangan RUU 355 ditangguhkan”.

Ertinya, kata Hadi, tidak semua orang dalam Umno menyokong undang-undang mahkamah syariah dipinda.

Tidakkah itu seperti menuduh ada dalam kalangan Umno tidak mahu “memperkasakan mahkamah syariah”? Mereka tidak sehaluan langkah yang dianggap ‘Islamik’? walaupun Umno juga menggelar dirinya parti memperjuangkan Islam (dan Melayu)?

Tidakkah ini boleh mengeruhkan hubungan Umno dengan PAS dalam Muafakat Nasional? Tidakkah ini merumitkan usaha damai (jika ada) antara Umno dan PPBM pimpinan Muhyiddin?

Oh ya, kita tahu Hadi dari parti mana.

Berdasarkan semua yang terpapar ini bolehkah dirumus dengan “with friends like this who need enemies”?

Rasanya tidak perlulah saya terjemah. Yang ingin dilafazkan waullahulam.

Tiada ulasan: