MALAYSIA DATELINE
Setelah kerajaan Perikatan Nasional yang dianggotai Pas menaikkan kembali jumlah cabutan nombor ekor dari 8 kali kepada 22 kali, umat Islam di Malaysia kini berdepan penghinaan dengan kewujudan satu video iklan raya yang mempromosikan permainan judi atas talian.
Ketua Pemuda AMANAH Terengganu Zamir Ghazali berkata, iklan promo tersebut sangat melukakan dan benar-benar merupakan ancaman kepada Islam di tanah air.
Menurutnya, mesejnya tepat mengajak berjudi, persenda kemuliaan Bulan Ramadhan dan 1 Syawal, mempamer budaya hendonisme pergaulan bebas serta tidak menutup aurat.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pas, Ahmad Marzuk Shaary pernah menggesa kerajaan Pakatan Harapan haramkan judi yang ‘dihalalkan’ oleh kerajaan, khasnya Kasino Genting, Magnum, Sports Toto dan Da Ma Cai.
“Suara PAS sangat garang ketika itu.
“Malangnya, sehingga kini setelah Marzuk menjadi Timbalan Menteri Agama, jumlah cabutan nombor ekor ditambah semula kepada 22 kali, dan kini wujud pula iklan judi raya secara terbuka.
“Jika ini bukan Islam terancam, maka apa lagi mahu disebut,” kata beliau.
Jelasnya, ini menunjukkan Pas gagal sebagai sebuah parti yang mempertahankan Islam walaupun menjadi sebahagian dari kerajaan.
Beliau mempersoalkan sama ada keberadaan Pas dalam kerajaan hanya sebagai tukang angguk yang mendapat jawatan dan kekayaan hasil kerajaan tebuk atap.
“Hilang sudah prinsip menolak judi secara tegas, bahkan turut bersekongkol dengan kerajaan yang menghalalkan judi?” soalnya lagi.
Katanya, rakyat muak dan penat melihat agamawan yang menjadi Menteri dan Timbalan Menteri seolah-olah membisu terhadap isu ‘ancaman Islam’ yang dulunya dilaungkan mereka bagai disampuk iblis dan diserang histeria.
“Letak jawatan adalah jalan terbaik. Dan kami mendesak seluruh pimpinan Pas dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional ini khususnya dalam Kementerian Agama agar letak jawatan,” katanya.
Tular mengenai sebuah klip video berkisarkan mengenai sebuah syarikat perjudian online BET333 yang telah menggunakan unsur kegamaan iaitu Hari Raya Aidilfitri sebagai unsur muzik video bagi mempromosikan aktiviti perjudian online dalam video tersebut.
Sekaligus mengundang kemarahan umat Islam ketika mereka sedang berlumba-lumba membuat ibadah ketika bulan yang mulia ini, Ramadan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan