Ainaa Aiman
PETALING JAYA: Seorang bekas jururawat kerajaan berusia 80 tahun, disenaraikan sebagai individu telah divaksin, walaupun dia sebenarnya sedang menunggu temujanji vaksinasi, kata anak perempuannya.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Gill itu berkata, ibunya mendaftar untuk program vaksinasi pada 25 Februari, dan sedang menunggu notifikasi untuk divaksin.
Katanya, ketika dia memeriksa aplikasi MySejahtera ibunya hari ini, aplikasi itu memaklumkan sudah mengeluarkan sijil vaksinasi digital kepada ibunya dan menandakan ibunya sudah menerima kedua-dua dos vaksin.
“Ibu saya tidak pernah divaksin. Rakan memberitahu saya supaya memeriksa butiran lanjut di laman web www.vaksincovid.gov.my. Laman itu memberitahu pendaftaran sedang diproses,” katanya kepada FMT.
Dia berkata, beberapa bekas rakan sekerjanya dalam media yang mempunyai ibu bapa berusia lebih 80 tahun juga memaklumkan mereka sedang menunggu notifikasi tarikh temu janji vaksiniasi ibu bapa mereka.
“Saya ingin tahu apa yang sedang berlaku dan mengapa ibu saya diketepikan. Ini sangat mengecewakan kerana ibu saya pernah bertugas sebagai jururawat kerajaan selama 30 tahun,” tambahnya.
Mereka akan menghubungi pejabat kesihatan daerah Isnin ini.
Katanya, ibunya kini menderita sakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi. Tambahnya lagi, ada banyak persoalan yang berlegar sama ada mereka yang berpenyakit perlu meneruskan ubatan yang diambil ketika ini atau sebaliknya.
“Dengan siapa kita perlu tanya?” katanya. Gill berkata ketika ini terlalu banyak “ketidakpastian.”.
FMT sedang menunggu maklum balas dari kementerian kesihatan berhubung perkara itu.
Data rasmi kerajaan menunjukkan, 1.08 juta dos vaksin sudah diberikan sejak program imunisasi bermula dengan lebih 400,000 sudah divaksinasi sepenuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan