MALAYSIA DATELINE
Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim kali ini berkongsi kisah beliau dengan seorang pemuda Foodpanda yang bukan bermotosikal sebaliknya berbasikal sahaja.
Pemuda yang berasal dari Kelantan merantau ke Pulau Pinang demi mencari sesuap nasi bagi menyara keluarga dan adik beradik 10 orang.
Mohamad, 22, membuat Foodpanda dengan mengayuh basikal yang dipinjam daripada rakannya selepas habis waktu kerja memandangkan gaji yang diperolehinya cukup-cukup makan sahaja.
Steven Sim yang sebelum ini pernah viral dengan sikap pemurahnya menolong ibu tunggal yang dihalau keluar rumah serta seorang gelandangan berbangsa India, kali ini bermurah hati membantu Mohamad membeli sebuah motosikal bagi memudahkan beliau bergerak menghantar makanan.
Mohamad pinjam basikal daripada rakannya selepas habis waktu
Sebelum ini, Mohamad berbasikal menghantar makanan menyebabkan kulitnya terbakar kerana terdedah dengan panas terik membuatkan Steven Sim bersimpati lalu membelikan beliau krim aloe vera.
Mohamad terkedu bercampur sedih dan tidak percaya akan dapat memiliki motosikal pemberian Ahli Parlimen DAP itu pada hari mula-mula berpuasa.
Ikuti coretan Steven Sim menyantuni Muhamad pada hari pertama Ramadan;
Hari ini Ramadan pertama.
Saya ditemukan dengan seorang rider Foodpanda yang menginsafkan saya tentang nilai sebuah kehidupan. Adik Mohamad mengayuh basikal meredah hujan dan panas demi sesuap nasi, walaupun ketika berpuasa.
Apabila saya bertanya kepadanya, mengapa dia berbasikal dan tidak menunggang motorsikal seperti yang lain; dia jawab, dia tidak ada motorsikal.
Basikal pun dipinjam daripada kawan, itupun seat dia banyak yang sudah rosak. Tapi demi mencari rezeki, dia redha.
Adik Mohamad berusia 22 tahun, merantau jauh dari Kelantan ke Pulau Pinang untuk bekerja. Keluarganya tidak kaya tapi mementingkan pendidikan. Ada 10 orang adik beradik. Ayahnya seorang guru agama. Dia sendiri lulusan diploma kejuruteraan Politeknik, dengan keputusan cemerlang.
Tapi setakat ini gajinya hanya RM500 sebulan, hendak makan pun tidak cukup, sewa bilik dia tidak bayar, atas ehsan kawannya. Adik Mohamad tidak merungut, malah bersyukur dengan peluang yang ada. Sebaliknya lepas kerja setiap hari, dia pinjam basikal kawan untuk jadi rider food panda. Lepas kerja, rehat satu jam, pergi kayuh sampai 11 malam. Dapat RM20 hingga RM30 sehari, cukup makan beberapa kali. Ada kala, makan nasi lemak tiap-tiap hari sebab mahu jimat duit.
Saya tengok kedua-dua belah tangannya pun sudah terbakar dek terik matahari. Mata masuk habuk mendengar kisah adik Mohamad.
Walaupun saya hormat Tun Dr Mahathir, saya dari dulu lagi tidak setuju dengan stereotype Tun yang kata Cina kaya, Melayu malas.
Ramai Cina yang bergelut demi mencari makan, ramai anak Melayu seperti adik Mohamad yang rajin berusaha demi kehidupan.
Bila saya tanya adik Mohamad apa pertolongan yang diperlukan, dia segan hendak jawab.
Beginilah, saya tidak pandai hal agama, tapi kawan-kawan ajar saya bulan Ramadan ini banyak berkat. Saya mohon berkat Ramadan, saya belikan adik Mohamad sebiji motor. Asalnya adik Mohamad macam tidak percaya.
Tapi bila saya bawa ke kedai motor dekat Bukit Mertajam, dia terus terharu. Kita beli Honda. Saya bayar cash. Kalau orang kecam saya guna peruntukan kerajaan beli motor, saya beritahu saya tidak ada peruntukan hendak guna. Saya sekarang Ahli Parlimen pembangkang. Ini saya beli guna wang gaji saya sendiri. RM4,500 termasuk road tax, insurans, settle penuh, minyak isi full tank, adik Mohamad boleh terus bawa motor ini tidak payah bimbang. Bolehlah adik naik motor ke kerja (sekarang dia tumpang motor kawan) dan jika jadi rider, tidak payah susah-susah kayuh basikal. Usah risau lagi hujung Ramadan macam mana mahu balik Kelantan jumpa mak ayah – kuda sudah ada.
Kami juga pergi farmasi beli krim aloe vera dan krim sunblock. Saya peringat adik Mohamad agar wajib sapu krim setiap kali sebelum keluar buat Foodpanda. Kita perlu jaga kesihatan diri. Kalau jatuh sakit, mak ayah juga yang akan bimbang.
Hari ini Ramadan pertama, saya belajar satu benda yang penting. Kita perlu banyak-banyak bersabar dalam menempuh cabaran hidup. Jangan putus asa walau susah macam mana sekalipun, dongipap kipidap!
Setiap perkara ada hikmahnya, Tuhan tidak pernah mengabaikan kita. Adik Mohamad telah menginsafkan saya tentang perkara ini.
Iftar pertama tahun ini, saya buka puasa bersama adik Mohamad. Walaupun berjauhan dari keluarga dan terpaksa bekerja keras mencari rezeki, saya doakan Ramadan ini akan menjadi Ramadan yang lebih bermakna buat dirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan