FMT Reporters
Norhizam Hassan Baktee dilihat bertengkar dalam klip video yang tular, semalam.
MELAKA: Seorang anggota exco yang dilihat “memarahi” peniaga di bazar Ramadan dalam klip video yang tular berkata, beliau hanya mahu memastikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dipatuhi.
Norhizam Hassan Baktee, yang digelar “YB Hulk” selepas pertengkaran dengan beberapa penduduk pada Oktober 2018 ketika Pakatan Harapan memerintah, berkata beliau tidak boleh membiarkan saja peniaga berkenaan, yang akhirnya akan merugikan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi itu dilihat bertengkar dengan peniaga di Bazar Ramadan Peringgit, semalam, dengan klip video kejadian itu tular di media sosial.
“Saya bertengkar dengan peniaga kerana tak mahu pasar Ramadan ditutup kerajaan negeri sekali gus menyebabkan mereka rugi,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, beliau ke bazar berkenaan sekitar 6 petang untuk memeriksa pematuhan SOP peniaga.
“Bagaimanapun, ada segelintir peniaga terutama yang berniaga di hujung pasar berkenaan, yang minta supaya kerajaan benarkan dua jalan masuk dan dua jalan keluar dibuka di pasar Ramadan berkenaan sekali gus melanggar SOP yang menetapkan hanya satu jalan masuk dan satu jalan keluar dibuka,” katanya.
Norhizam berkata, bazar Ramadan itu menggunakan sistem kupon yang membolehkan jumlah pengunjung dihadkan, sebaliknya jika dibuka dua laluan bererti keadaan tersebut tidak dapat dipantau rapi.
“Perkara ini juga telah dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka bersetuju hanya satu jalan masuk dan satu jalan keluar dibenarkan,” katanya.
Katanya, sebahagian besar peniaga serta pengunjung memahami perlunya mematuhi SOP ditetapkan dalam usaha bersama mencegah penularan Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan