ARIF BASHARUDIN
Pasir Puteh adalah sebuah bandar kecil atau lebih layak dipanggil pekan sahaja yang terletak di sempadan Kelantan dan Terengganu tetapi jangan terkejut jika berkunjung ke sana kerana caj parking keretanya lebih tinggi dari Bandaraya Shah Alam di Selangor.
Mungkin kerana sumber pendapatan lain tidak ada maka bebanan untuk mendapatkan hasil untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini dibebankan kepada pemandu kereta di daerah ini apabila mereka mahu meletakkan kenderaan mereka.
Menurut Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan, perkara ini mengejutkan kerana Pasit Puteh bukanlah satu bandar yang sesak sehingga kadar car parking sedemikian rupa.
Muhammad Husain melihat sistem parking baru di pekan Pasir Puteh yang dianggap tidak mesra pengguna manakala kadarnya sangat tinggi.
Dalam suatu siaran video di saluran YouTube Jeming Hassan itu, Hazmi yang lebih dikenali sebagai Jeming itu bersama Pengerusi AMANAH Kelantan Ustaz Muhammad Husain turun padang memeriksa meter-meter pembayaran parking yang terdapat di Pasir Puteh itu.
“Dengan kadar bayaran RM1 untuk sejam, sedangkan Pasir Puteh bukanlah sebuah bandar yang benar-benar pesat membangun, adalah tidak wajar,” kata Muhammad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu (gambar atas).
Sistem pembayaran parking itu juga dipertikai oleh Muhammad kerana walaupun pengguna hanya meletakkan kenderaan mereka hanya lima minit, mereka perlu membayar RM1 kerana caj yang dikenakan adalah RM1 untuk satu jam pertama.
Sedangkan di Kota Bharu sendiri pun, katanya, tidak semahal Pasir Puteh dari segi kadar bayaran tempat letak kereta bagi setiap sejam.
Menurut sumber, caj parking setiap jam di bandar Kota Bharu adalah 80 sen, Machang 60 sen manakala Shah Alam juga dikatakan 60 sen sejam.
“Jadi Kerajaan Pas Kelantan kena pertimbangkan semula kadar bayaran yang agak mahal ini, rakyat Pasir Puteh bukan semua orang kaya sampai nak kena bayar RM1 sejam,” kata beliau.
Kelantan sebelum ini pernah gempar akibat dari isu berkaitan kadar bayaran tempat letak kereta dan tindakan keras yang dikenakan oleh pihak penguatkuasa.
Sebelum ini, wujud beberapa bantahan dari kalangan rakyat negeri ini yang mengecam tindakan pihak penguatkuasa mengunci tayar kenderaan atas alasan ada tunggakan saman, walaupun kenderaan itu diletak dalam petak yang disediakan.
Jeming melalui video ini turut menemubual para pengguna bagi mendapatkan pandangan mereka tentang isu parking ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan