FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang amah warga Indonesia yang sebelum ini dituduh mencuri barang kemas milik majikannya bernilai RM69,000 pada tahun lalu sebenarnya menjadi mangsa penindasan selepas tidak dibayar gaji penuh.
Konsulat Jeneral Indonesia Pulau Pinang berkata, wanita itu yang dikenali sebagai Eka Lestari, 27, melarikan diri dari rumah majikannya di Taman Bukit, Pulau Pinang pada 8 Sept 2022.
Katanya, susulan tindakan Eka itu, majikan wanita itu membuat laporan polis menuduh beliau melarikan diri bersama barang kemas miliknya berharga kira-kira RM69,000.
Menurutnya, Eka kemudiannya menjadi buruan polis dan kejadian itu turut mendapat liputan media tempatan.
“Selepas berita itu tular, Eka menjadi takut dan dia datang ke Konsulat Jeneral Indonesia Pulau Pinang untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan undang-undang.
“Menurut Eka dia tidak mencuri barang kemas majikannya sebaliknya dia melarikan diri kerana pekerjaannya tidak sama seperti yang dijanjikan. Dia juga ditawar gaji RM1,200 sebulan tetapi hanya dibayar gaji RM300 sebanyak dua kali,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata kenyataan itu lagi, pada 1 Dis 2022 IPD Seberang Perai Tengah memberitahu kes terhadap Eka digugurkan kerana tiada bukti menunjukkan wanita itu mencuri barang kemas milik majikannya.
“Berkenaan tunggakan gaji, pihak konsulat dengan bantuan pegawai Jabatan Tenaga Kerja berbincang dengan bekas majikan wanita itu.
“Selepas beberapa kali pertemuan majikan akhirnya bersetuju untuk membayar baki tunggakan gaji tersebut,” katanya.
Katanya, kejadian itu memberi kesan psikologi yang mendalam terhadap Eka. Wanita itu meninggalkan Pulau Pinang untuk kembali ke Indonesia pada Selasa lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan