"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ugut sebar gambar aib, remaja perempuan ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Remaja perempuan ditahan selepas disyaki mengugut seorang wanita untuk menyebarkan gambar tidak senonoh di Taman Seri Nilai, Tangkak, semalam.

Pemangku Ketua Polis Tangkak, Idris Abdul Rahman, berkata suspek berusia 17 tahun diberkas kira-kira 4 petang semalam susulan laporan dibuat wanita terbabit di IPD Tangkak Isnin lalu.

Beliau berkata, suspek menggunakan Facebook milik individu lain untuk mengugut menularkan gambar tidak senonoh wanita berusia 20 tahun itu jika gagal menyerahkan sejumlah wang.

“Kejadian berlaku selepas mangsa mengenali suspek melalui Instagram bermula 28 Jan lalu. Sejak itu, wanita berkenaan menyerahkan RM27,000 kepada suspek melalui 32 transaksi dan tiga akaun berlainan selepas suspek terus mengugutnya,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, ugutan terakhir suspek pada 11.20 malam Rabu lalu apabila meminta wang RM600 menyebabkan mangsa nekad memberitahu ibunya berhubung perkara itu sebelum membuat laporan polis.

“Siasatan mendapati mangsa tidak pernah bertemu secara bersemuka dengan suspek.

“Ketika tangkapan, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah telefon beserta kad sim, sekeping kad bank dan wang tunai berjumlah RM152 daripada suspek,” katanya.

Katanya, suspek direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: