"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas naib canselor UPSI, Zakaria Kasa dipenjara 18 bulan dan denda RM10,000 atas pertuduhan salah guna kuasa.

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas naib canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Zakaria Kasa, 66, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi Ipoh atas pertuduhan salah guna kuasa, sembilan tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Su Tiang Joo memutuskan hukuman itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan tertuduh, lapor Utusan Malaysia.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh tambahan penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Pada prosiding itu, mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Namun, mahkamah tidak membenarkan penangguhan hukuman denda dan dijelaskan pada tarikh hukuman diputuskan hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu naib canselor UPSI menggunakan jawatannya berhubung perkara yang beliau mempunyai kepentingan, apabila mengarahkan Mohd Faizi Othman iaitu pendaftar UPSI untuk memasukkan nama Mohd Fauzi Zakaria iaitu anak lelakinya untuk dipanggil temuduga pada 12 Sept 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik naib canselor, Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselor, UPSI, Tanjung Malim antara 24 Jun hingga 12 Sept 2014.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala Zakaria diwakili peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Shahidah Muslimah Roslan dan Noor Hidayah Mohd. Saad.

Mahkamah Seksyen Ipoh sebelum ini melepaskan dan membebaskan Zakaria daripada pertuduhan salah guna kuasa memasukkan nama anak lelakinya untuk dipanggil temuduga.

Keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kes berkenaan.

Tiada ulasan: