"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mempertahan Sang Politikus

Mohsin Abdullah

Kebanyakan kita, malah mungkin juga kita semua, menyalahkan ahli politik bagi semua masalah yang timbul sama ada yang kita hadapi secara langsung mahupun yang dialami negara. Kita tuduh merekalah puncanya.

Bagi kita, sang politikus memualkan, tamak, gila kuasa, mementing diri, mencipta isu agama dan perkauman untuk dimainkan demi mendapat kuasa. Ada banyak lagi gelaran yang kita ‘anugerahkan’ ke atas mereka. Sila tambah.

Tetapi kita jarang sekali menamakan golongan sang politikus yang kita benci walaupun kita tahu siapa mereka dan yakin mereka tidak berguna dan tidak boleh diharapkan. Cuma kita tidak mahu (mungkin takut?) untuk mengumumkan siapa yang kita maksudkan. Lazimnya kita akan bercakap secara am tanpa menyebut nama, lantas berkatalah kita “orang politik memang macam tu”. Siapa? “Orang politik lah,” jawab kita ketika ditanya.

Namun kita tidak bersalah dalam menyalahkan mereka. Ertinya apa yang kita tuduh mereka benar. Most of the time kita betul. Sememangnya mereka melakukan apa yang kita tuduh tetapi bukan setiap masa dan bukan semua begitu. Ini wajib dikatakan untuk berlaku adil.

Maksudnya bukan semua politikus berperangai buruk seperti kita katakan. Mungkin tidak ramai tetapi pasti bukan semuanya hamlau. Ada yang baik serta ikhlas menjalankan tugas sebagai orang politik. Ada yang benar-benar berkhidmat atau setidak-tidaknya mahu berkhidmat untuk rakyat.

There’s always the other side of the coin. Barangkali mereka tidak menonjol berbanding politikus yang mual dan menjijikkan. Mungkin kita yang terlepas pandang. Untuk mengatakan semua orang politik “sama je” adalah tidak tepat.

Ada orang kata politik itu kotor. Ada tidak setuju lalu berkata politik sebenarnya tidak kotor. Yang kotor kata mereka ialah manusia. Yakni manusialah yang buat kotor. Betul. Manusia mencorakkannya. Manusia menggunakan politik untuk kebaikan atau kejahatan.

Namun, for argument’s sake, katalah politik memang kotor. Someone must do the dirty work. Bayangkan tidak ada sang politikus (yang baik dan yang tidak baik) menceburi bidang ini siapakah yang akan menjalankan tugas ‘menjaga’ negara? Tidak dinafkan ada habuan dan ganjaran dan lazimnya si hamlau yang meraih keuntungan.

Bercakap mengenai sang politikus durjana, mengapa apa-apa yang mereka ‘jual’ dibeli ramai? Mengapa kita senang terpedaya akan apa yang mereka beritahu kita? Mengapa kita kerap terima apa yang mereka uar-uarkan? Kita telan bulat-bulat walaupun pernah terbukti mereka tidak betul? Kita percaya meskipun apa yang dicanang memang jelas tidak betul? Mengapa kita mudah dimomok-momokkan? Konon kita atau lebih tepat agama dan bangsa kita terancam dan terus diancam?

Teringat saya persembahan pelawak popular AS, George Carlin, suatu ketika dulu. Carlin terkenal dengan kritis keras dan tajam terhadap sistem dan masyarakat. Tetapi kata mendiang satu perkara yang beliau tidak mengadu ialah mengenai ahli politik.

“Semua orang complaint pasal politikus. Semua orang kata ahli politik tidak bagus. Tetapi dari mana orang ingat ahli politik ini semua datang? Mereka tidak jatuh dari langit. Mereka tidak datang dari hidupan lain. Mereka datang daripada ibu bapa Amerika, keluarga Amerika, sekolah Amerika, universiti Amerika, gereja Amerika, perniagaan Amerika, dan mereka dipilih oleh warga Amerika.

“Ini sahaja yang terbaik yang kita boleh lakukan. Ini yang kita boleh tawarkan. Inilah sistem kita hasilkan. Sampah masuk, sampah keluar.

“Jika anda ada warga yang tamak dan jahil anda akan dapat pemimpin yang tamak dan jahil . Mungkin bukan politikus yang memualkan . Mungkin yang mual ialah orang ramai. Sebab jika yang salah ialah politikus di mana warga yang bijak pandai dan berhati nurani yang sedia ambil alih untuk memimpin dan selamatkan negara? Kita tidak ada golongan ini dalam negara. Semuanya ada di pusat beli belah.”

Adakah kata-kata itu boleh turut diguna pakai untuk menggambarkan keadaan kita ? Harap tidak.

Tiada ulasan: