"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri komunikasi: Sesiapa cabar status P Pinang perlu disiasat

Predeep Nambiar

BUTTERWORTH: Sesiapa yang cuba mempertikaikan status Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat di Malaysia perlu disiasat pihak berkuasa, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Katanya, status Pulau Pinang sebagai sebuah negeri termaktub dalam perlembagaan negara dan semua pihak wajib akur dengan kedudukan negeri itu.

“Sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan saya yakin pihak berkuasa akan menyiasat bagi mengekang maklumat palsu daripada tersebar dalam kalangan masyarakat.

“Polis bebas menyiasat mengikut mana-mana akta manakala Peguam Negara boleh memutuskan sama ada mahu mengenakan dakwaan mengikut undang-undang,” katanya selepas merasmikan program Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kota Kuala Muda.

Fahmi mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor yang sekali lagi mengulangi dakwaannya bahawa Pulau Pinang milik kedah kerana tiada “sempadan Kedah-Pulau Pinang”.

Rabu lalu, Sanusi menggesa Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menyokong dakwaannya selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta pemimpin PAS itu memahami perlembagaan yang menyenaraikan Pulau Pinang sebagai satu daripada negeri di Semenanjung.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata status negeri berdaulat termaktub dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Ramkarpal berkata, Perkara 71(1) Perlembagaan, yang dibaca bersama Jadual ke-8 Perlembagaan, menyatakan setiap negeri mempunyai undang-undang tubuh yang memperuntukkan kerajaan tersendiri, termasuk Pulau Pinang.

Tiada ulasan: